Skip to main content

Bola Sepak

Annuar tuntut Kevin jelaskan maksud politikkan bola sepak

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

annuar-musa-140417.jpg
Isu sekatan perpindahan pemain import yang dikenakan oleh Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) terhadap Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mencetuskan perang mulut yang seakan-akan tiada kesudahannya.

Terbaru, dalam status Facebook miliknya, Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar  Musa, meminta Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingan, supaya tidak ‘biadap’ dalam menjalankan tugas yang telah diamanahkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Saya memperingatkan Kevin Ramalingam supaya jangan ‘biadap’ dalam melaksanakan tugas. Saya nak tanya apa maksud mempolitikkan isu…Siapa mempolitikkan? Politik apa? UMNO? PAS? DAP?

“Ini soal bola, soal cara bekerja, soal keadilan. Saya berhak kerana saya penaja utama. Saya bukan makan gaji macam Kevin. Saya berbelanja dan melabur untuk bola kerana minat dan tak mahu bola sepak Kelantan dikuburkan atau berkubur,” katanya.

Annuar, yang juga penaja utama The Red Warriors (TRW) musim ini, menuntut Kevin menunjukkan kualiti kerja yang profesional sesuai dengan gaji lumayan yang diterimanya.

“Kevin dibayar gaji ribuan sebulan untuk menunjukkan kualiti kerja yang profesional, bukan berlagak besar kepala dan sombong dengan sesuka hati membuat kenyataan demi kenyataan yang memudaratkan FMLLP.

“Usah cuba menggertak saya. Selagi saya terlibat dengan bola, saya berhak dan akan terus bersuara tanpa takut atau gentar.

"Sekali lagi saya ulang, apa maksud mempolitikkan?? Kevin mahu pasukan yang ditindas berdiam diri dan hanya menagih simpati? Itu bukan TRW,” katanya.

Annuar juga mengumumkan rombongan KAFA yang akan diketuai Pemangku Presiden, Datuk Seri Afandi Hamzah, akan bertandang ke pejabat FMLLP, Isnin  ini untuk memohon penjelasan sebenar tentang isu berkaitan.

“Pagi tadi (semalam), saya bertemu dengan Exco KAFA dan saya nasihatkan Exco KAFA diketuai Pemangku Presiden, Datuk Seri Afandi Hamzah, pergi ke Pejabat FMLLP, Isnin ini dan minta penjelasan.

"Kita bukan pertikaikan hukuman, kita pertikaikan ketidakadilan dalam menghukum dan kebijaksanaan dalam menghukum serta kenyataan beliau yang bercanggah-canggah.

“Biar rombongan KAFA dapatkan penjelasan dan kita akan tentukan langkah selanjutnya,” katanya.

Advertisement

Must Watch Video