Skip to main content

Bola Sepak

Ange cetus evolusi menakjubkan buat Spurs

ange.jpg
Betapa menakjubkan evolusi sebuah pasukan apabila pengurus yang bersesuaian hadir.
 
Setelah lima perlawanan dalam Liga Perdana Inggeris, Tottenham Hotspur kini berdiri megah di tangga kedua, hanya satu mata di belakang juara bertahan, Manchester City, dengan empat kemenangan dikecapi selain belum ditewaskan.
 
Harus pencapaian hebat ini datangnya daripada kewibawaan pengurus baru, Ange Postecoglou.
 
Kisah pengurus ini yang bermula sebagai seorang pendatang di bumi Australia sehinggalah menjadi pendorong transformasi, adalah bukti betapa gaya pembesaran yang unik mampu membentuk falsafah bola sepak yang luar biasa.
 
Bapa kepada Ange, Jim Postecoglou, adalah seorang lelaki yang kebahagiaannya hadir menerusi bola sepak sewaktu hari-hari awalnya di Australia.
 
Tempoh hujung minggunya dihabiskan dengan membawa anak lelakinya, Ange, menonton perlawanan pasukan tempatan di stadium, diikuti oleh persaingan Liga Perdana Inggeris pada malamnya.
 
Minat dan semangat yang dikongsi bersama bukan sahaja memperkuatkan hubungan anak-beranak, malah turut menyemai benih falsafah bola sepak yang berasaskan serangan serta kegembiraan sewaktu beraksi.
 
Menerusi sesi temu bual khas dalam rancangan Football Focus siaran BBC, Ange berkongsi bahawa bapanya cukup benci akan bola sepak yang mementingkan aspek pertahanan ketat, misalnya sistem Catenaccio yang diamalkan oleh pasukan kebangsaan Itali sewaktu era 70-an.
 
Justeru, dia sentiasa mengingatkan Ange bahawa kemenangan terbaik dikecapi menerusi gaya permainan yang cantik dan menghiburkan.
 
Pesanan itu kekal bersama Ange hingga ke hari ini dan gaya permainan itulah yang dipamerkan oleh Spurs musim ini – jauh sekali berbeza dengan gaya mereka pada musim-musim terdahulu di bawah pimpinan Antonio Conte dan Jose Mourinho.
 
Keutamaan Spurs sewaktu beraksi kini adalah mempamerkan serangan pantas dan tajam berserta memberikan tekanan tinggi terhadap pihak lawan sepanjang masa.
 

 
‘Mantera’ pasukan mereka sekarang adalah ‘jangan pernah berhenti’, menunjukkan bahawa aspek kegembiraan penonton dan penyokong merupakan sesuatu yang sama penting dengan mencapai kemenangan.
 
Ange bukan sekadar merevolusikan gaya permainan tetapi turut mempercayai pemain-pemain sepenuhnya dengan membolehkan serta menggalakkan mereka untuk bebas menunjukkan kreativiti dan inovasi di atas padang.
 
Sewaktu di bilik persalinan pula, Ange menyambung aspek kebebasan itu dengan membolehkan pemain meluahkan apa sahaja yang mereka mahu, sekali gus membentuk semangat kekitaan dan menyingkirkan emosi-emosi negatif yang mungkin terbentuk akibat tekanan sewaktu perlawanan.
 
Tidak seperti sesetengah pengurus yang teramat bergantung kepada pemain berpengalaman untuk menjadi nadi pasukan, Ange tidak keberatan untuk mengetengahkan pemain muda seperti Destiny Udogie, Micky van de Ven dan Pape Matar Sarr untuk menunjukkan kebolehan beraksi dalam kesebelasan utama.
 
Baginya, pasukan yang hendak mencetuskan revolusi memerlukan idea-idea segar yang hadir daripada pemain pelbagai usia.
 

 
Sesungguhnya menyaksikan persembahan Tottenham musim ini bagaikan satu nafas segar yang lama dinanti-nantikan.
 
Dengan tenggelamnya Chelsea dan Manchester United yang saban musim menghiasi empat tangga teratas liga, mungkinkah sudah tiba masa akhirnya buat Spurs menjadi pencabar baru takhta juara liga?
 

Advertisement

Must Watch Video