Faiq Bolkiah, 25, anak saudara Sultan Brunei yang mewarisi kekayaan bernilai £15.85 bilion (RM95.64 bilion) dimasukkan sebagai pemain gantian pada separuh masa pertama untuk Ratchaburi ketika menentang Police Tero dalam aksi Liga Thai kelmarin.
Hanya selepas beberapa minit beraksi, dia bertembung dengan pertahanan lawan dan kaki kanannya tersadung sehingga terpaksa diusung keluar padang.
Kecederaan serius itu menyebabkan dia dibawa ke hospital berhampiran. Presiden kelab Tanawat Nitikanchana melawat Faiq bersama keluarganya sebagai tanda sokongan moral kepada pemain itu.
Tanawat memuatnaik gambar mereka dalam Instagramnya bersama doktor yang melawat Faiq.
"Hari ini hari menyedihkan. Putera @fjefrib tercedera ketika beraksi untuk kami @rbfcofficial_," tulis Tanawat dalam kapsyennya. "Saya tahu anda tentu terkejut dan mengalami kesakitan.
"Tetapi anda perlu tahu kami akan sentiasa bersama anda sehingga anda kembali menyarung jersi naga dan menjaringkan gol.
"Walaupun anda di sini baru lapan bulan tetapi saya yakin setiap orang di kelab ini dan peminat menyayangi anda. Kami akan tunggu anda kembali bersama kami."
Ia minggu yang buruk buat Faiq yang dibuang padang dalam aksi Ratchaburi sebelum ini selepas mendapat kad kuning kedua. Dia menyertai mereka pada musim panas lalu selepas meninggalkan Chonburi.
Walaupun dari keturunan di raja, ia bukan penghalang untuk Faiq menjadi pemain bola sepak profesional. Ketika menyambung pelajaran di England, Faiq bermain dengan akademi Southampton, Chelsea dan Leicester.
Dia turut mencuba nasib dengan Reading, Arsenal dan Stoke namun gagal. Dia kemudiannya berkelana ke Portugal dan bermain dengan Maritimo sebelum kembali ke Asia.