Skip to main content

Bola Sepak

Aksi timbal balik lebih baik daripada tersingkir -- Solskjaer

greenwood.jpg
WOLVES 0 MANCHESTER UNITED 0 

Ole Gunnar Solskjaer berpuas hati dengan persembahan Manchester United ketika berdepan Wolves dalam Piala FA meskipun pasukannya gagal menemui penyudah untuk seri 0-0 di Molineux awal pagi tadi.


Perlawanan timbal balik perlu diadakan bagi memutuskan pasukan yang akan melangkah ke pusingan keempat selepas kedua-dua pasukan gagal menghasilkan peluang kemenangan susulan hanya menghidupkan permainan dalam tempoh 20 minit terakhir.

Pemain gantian United, Marcus Rashford, sempat menyaksikan usahanya terkena palang sejurus dimasukkan sebelum jaringan Matt Doherty dibatalkan akibat bola terkena tangannya manakala usaha Raul Jimenez buat tuan rumah sekadar singgah di tiang gol. 

Meskipun pasukannya mampu bertahan bagi mengheret pertemuan itu ke Old Trafford sambil menyaksikan United gagal menghasilkan sebarang percubaan tepat dalam perlawanan domestik buat kali pertama sejak Januari 2015, Solskjaer tetap gembira dengan tahap prestasi pemainnya.

"Saya lebih gemar mengharungi perlawanan ulangan daripada tersingkir dalam saingan merebut piala. Kami sedar adalah sukar apabila datang ke sini tapi kami masih berada dalam saingan dan di laman sendiri kelak, kami akan ada peluang lagi untuk layak," katanya kepada BT Sport.

"Ia sentiasa (sukar) apabila kami tiba di Molineux. Saya fikir kami bermain dengan baik dalam babak pertama tetapi lawan menguasai separuh masa kedua untuk perlawanan bertukar menjadi lebih sukar.

"Kami terlepas daripada dihukum apabila Doherty gagal melakukan tandukan sempurna hingga bola terkena lengannya tetapi saya fikir seri adalah keputusan yang adil.

"Kami tidak mencipta banyak peluang tetapi saya fikir kami mengawal permainan.

"Beberapa pemain telah mengharungi banyak perlawanan dan mulai keletihan, ada yang jarang beraksi dan mungkin ia mula memberi kesan menjelang minit-minit akhir permainan."

Terbit kegusaran mengenai tahap kecergasan Harry Maguire selepas pertahanan tengah itu bergelut dengan kecederaan.

Pemain antarabangsa England berkenaan, bagaimanapun, tetap melengkapkan aksinya sepanjang 90 minit, namun pengurusnya itu mengakui kelibatnya bagi pertembungan Piala Liga Inggeris (EFL) dengan Manchester City pada pertengahan minggu depan kini dalam keraguan. 

"Saya tidak tahu," tambahnya apabila ditanya sama ada Maguire akan cergas untuk aksi 'derby' Manchester itu.

"Kami begitu hampir untuk mengeluarkannya ketika masa rehat tetapi dia terus berjuang. Kami perlu lihat sejauh mana dia akan pulih tetapi kami menaruh harapan."

Keputusan pusingan ketiga Piala FA:
 
Bristol City 1 Shrewsbury 1
Birmingham 2 Blackburn 1
Rochdale 1 Newcastle 1
Rotterham 2 Hull City 3
Millwall 3 Newport County 0
Burnley 4 Peterborough 2
Preston 2 Norwich 4
Brighton 0 Sheffield Wednesday 1
Cardiff City 2 Carlisle 2
Southampton 2 Huddersfield 0
Reading 2 Blackpool 2
Watford 3 Tranmere 3
Fulham 2 Aston Villa 1
Oxford Utd 4 Hartlepool 1
Brentford 1 Stoke City 0
Bournemouth 4 Luton Town 0
Wolves 0 Man United 0
Fleetwood 1 Portsmouth 2
Man City 4 Port Vale 1
Leicester 2 Wigan Athletic 0





Editor: Shaiful Shamsudin
 

Advertisement

Must Watch Video