Bernardo Silva melabel Manchester City bermain seperti budak B-15 untuk rebah di penghujung pertembungan 'derby' kepada Manchester United, awal pagi tadi.

City kelihatan terkial-kial untuk memuktamadkan kemenangan sebelum kesilapan pada lewat permainan menyaksikan The Red Devils bangkit menerusi jaringan Bruno Fernandes dan Amad Diallo.

"Kami berhak menerima apa yang berlaku. Di tahap ini, satu atau dua perlawanan adalah malang. Kami tidak boleh mengatakan ini sebagai tuah atau tidak bernasib baik kalau dah 10 perlawanan," katanya kepada Sky Sports.





"Minit ke-87 dalam perlawanan derby, menuju kemenangan 1-0 dan sepakan sudut kami berakhir dengan sepakan penalti untuk mereka. Jika kami membuat keputusan bodoh ini dalam baki tiga atau empat minit, anda layak membayarnya dengan harga yang mahal.

“Berdasarkan perlawanan ini, saya rasa hanya ada sebuah pasukan sahaja yang boleh menang tetapi akhirnya, kami yang tewas.

"Bukan sebuah perlawanan sahaja malah ia kerap berlaku sejak akhir-akhir ini. Kami perlu cermin diri sendiri. Anda boleh berkata 'Oh ia agak malang' tetapi hakikatnya tidak. Ini berpunca daripada keputusan yang dibuat.

“Hari ini, pada minit terakhir, kami bermain seperti pasukan B-15.

“Kami tidak mahu ia berlaku. Ia agak mengecewakan kerana jika anda lihat perlawanan ini hingga minit ke-86, hanya ada sebuah pasukan yang akan menang.

"Kemudian, berpunca daripada sepakan sudut kami, bek tengah kami, Ruben, tidak naik tetapi kami berakhir dengan bola di dalam gawang kami. Tiada alasan untuk itu.

"Adalah normal bahawa kami tidak begitu gembira pada saat ini. Bukan sahaja perlawanan ini malah sejak bulan lepas lagi.

"Kami perlu beraksi dengan lebih baik secara individu dan kolektif kerana ini bukan piawaian Manchester City."