ACL
ACL: Tak patut hentam JDT
Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak seharusnya dihentam teruk sehingga digelar 'jaguh kampung' selepas tewas 0-5 kepada Kawasaki Frontale dalam aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2023 di Stadium Kawasaki Todoroki pada Selasa lalu.
Kekalahan itu menyaksikan hasrat juara 10 kali berturut-turut Liga Super berkenaan untuk mara ke saingan kalah mati terkubur biarpun saingan peringkat kumpulan masih berbaki satu perlawanan.
Pemerhati bola sepak tempatan, Razman Roslan, berkata JDT sudah memberikan yang terbaik, namun tidak bernasib baik tewas dua perlawanan kepada Kawasaki Frontale, yang sememangnya memiliki kualiti lebih baik.
Iklan
Menurutnya, JDT juga mampu memberikan saingan di peringkat kumpulan apabila berjaya membenam kelab Thailand, BG Pathum United, sebelum turut melakar kemenangan ke atas wakil Korea Selatan, Ulsan Hyundai.
“Saingan ACL ini bukan calang-calang kejohanan kerana diisi oleh pasukan terbaik di Asia. Mana-mana pihak yang nak kritik JDT pun kena lihat situasi sebab sebelum ini mereka juga pernah menang dengan Ulsan Hyundai, yang juga gergasi dalam Liga Korea.
“Daripada situ kita dapat lihat kualiti yang ada pada JDT. Saya tengok dari segi permainan, JDT boleh mencabar Kawasaki Frontale dengan ada juga percubaan yang dicipta, cuma keputusan tidak memihak kepada mereka.
“Sepatutnya kita sebagai peminat mahupun penyokong bola sepak Malaysia bukan mengkritik, sebaliknya terus memberikan sokongan kepada JDT.
“Mereka satu-satunya pasukan wakil dari Malaysia di pentas itu dan mengharapkan mereka mampu melangkah lebih jauh pada tahun-tahun akan datang,” katanya.
Untuk rekod, JDT melakar kemenangan ke atas BG Pathum United serta Ulsan Hyundai untuk berada di kedudukan ketiga Kumpulan I dengan enam mata.
Skuad Harimau Selatan itu akan melengkapkan aksi Kumpulan I menentang BG Pathum di Stadium Sultan Ibrahim pada 12 Disember, yang mana Kawasaki dan Ulsan sudah mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati.
Untuk rekod, pencapaian terbaik JDT di pentas ACL adalah mara ke pusingan 16 musim 2022 sebelum langkah mereka terhenti ditundukkan kelab terkemuka Jepun, Urawa Red Diamonds.
Dalam pada itu, Razman percaya JDT akan tampil lebih baik dalam saingan ACL 2024 selepas terpaksa mengucapkan selamat tinggal lebih awal musim ini.
“Sasaran JDT ini bukan sahaja untuk masuk ke ACL, sebaliknya untuk perbaiki kelemahan mereka. Itu memang sikap dan visi pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim,” tambahnya.
Must-Watch Video