Bayaran sebanyak RM50,000 yang dikenakan kepada ahli gabungan baharu untuk menyertai Persatuan Bolasepak Malaysia disifatkan sebagai amalan biasa yang bertujuan memastikan hanya pihak benar-benar komited terlibat dalam pembangunan bola sepak negara.
Pemerhati sukan negara, Datuk Dr Pekan Ramli, menjelaskan bahawa syarat berkenaan bukan bertujuan menyekat penyertaan mana-mana pihak, sebaliknya menjadi mekanisme saringan awal bagi memastikan ahli gabungan mempunyai kesungguhan serta keupayaan untuk bersama badan induk itu.
Dia berkata demikian ketika mengulas isu kemasukan ahli gabungan baharu menjelang Kongres Pemilihan FAM yang dijadual berlangsung pada September ini, yang dijangka menjadi tumpuan utama dalam menentukan kepimpinan baharu badan induk bola sepak negara.
Isu ini turut dilihat antara perkara penting yang bakal dibincangkan kerana ia melibatkan struktur keahlian serta hala tuju pentadbiran bola sepak negara untuk penggal akan datang.
Dalam masa sama, Pekan menegaskan bahawa pertambahan ahli gabungan yang sah dan berkredibiliti sebenarnya boleh memberi manfaat kepada FAM, khususnya dalam mengurangkan risiko manipulasi ketika proses pemilihan kepimpinan persatuan.
Menurutnya, sistem keahlian yang lebih tersusun mampu memastikan proses demokrasi dalam bola sepak negara berjalan dengan lebih telus dan berintegriti.