Satu komen ringkas — “lelaki ke perempuan” ke atas wanita yang berotot mungkin nampak kecil tapi ia jelas mencerminkan satu stigma lama yang masih belum hilang; wanita berotot sentiasa dilabel maskulin atau tidak feminin.
Masalahnya bukan pada tubuh wanita. Ini adalah masalah persepsi masyarakat.
Advertisement
Selama ini, imej ‘wanita ideal’ sering dikaitkan dengan kecil, lembut, dan tidak terlalu menonjol secara fizikal.
Jadi apabila ada wanita yang kuat dan berotot, daripada melihat perkara tersebut sebagai kerja keras yang dilakukannya, ia dilihat sebagai maskulin. Kenapa bukan kuat? Kenapa bukan fit? Kenapa bukan sihat dan cergas?
Hakikatnya, otot tidak pernah menunjukkan jantina seseorang. Otot adalah hasil disiplin, latihan, dan konsistensi.
Ia tanda tubuh badan yang berfungsi dan dijaga dengan baik. Bukan sesuatu yang perlu dipersoalkan tetapi sesuatu yang boleh menjadi inspirasi. Apa yang berubah hanyalah persepsi kita, bukan definisi kekuatan itu sendiri.
Ironinya dalam sukan, wanita yang kuat dipuji tetapi mungkin di luar gelanggang, kekuatan yang sama kadang kadang dipersoalkan seolah-olah kekuatan itu hanya boleh diterima dalam konteks atau situasi tertentu, bukan sebahagian daripada identiti harian seorang wanita.
Mungkin sudah tiba masanya kita ubah naratif itu. Daripada melihat otot sebagai sesuatu yang menghilangkan feminin seorang wanita, kita mula melihatnya sebagai tambahan kepada siapa seorang wanita itu – kuat, berdisipilin, dan yakin dengan diri sendiri.
Jika anda masih mempunyai persepsi sebegini, mungkin sudah tiba masanya untuk tepuk dada dan tanya pada diri sendiri supaya tidak rasa terkesan apabila melihat seorang wanita yang lebih berotot. Kerana pada akhirnya, menjadi sihat dan kuat bukan tentang kelihatan seperti lelaki, ia tentang menjadi versi terbaik untuk diri sendiri.