Konsistensi selaku pendahulu saingan bermula sejak hari pertama sehingga hari kelima membawa kepada kejayaan Akmal Aiman Fauzi mencatat 365 pukulan keseluruhan dalam Kejohanan Golf Amatur Dunia (WAGC).
Aiman cemerlang dalam saingan hari pertama dengan 64 pukulan dan konsisten di antara 71 hingga ke 73 pukulan pada hari kedua hingga keempat.
Dia mengakui terpaksa melewati kesulitan dalam setiap pukulannya pada hari terakhir dengan mengumpul 83 pukulan, Aiman bagaimanapun lega kerana situasi itu bukan hanya berlaku kepada dirinya malah semua peserta turut menghadapi kesulitan di Lapangan The Els Valley
Ini merupakan penampilan kali pertama Aiman di The Els Valley dan mengakui menyesuaikan dengan cabaran di lapangan pada hari ini benar-benar mencabar kemampuannya
"Setiap hari lapangan akan bertukar-tukar jadi kami perlu ambil masa sesuaikan diri.
"Walaupun hari ini kurang memuaskan, Insya-Allah ada tempat.
"Luar biasa.
"Ini pengalaman baharu buat saya bermain di atas lapangan yang berbeza setiap hari.
"Pemain yang bagus akan cepat sesuaikan diri," katanya di Nadi Arena.
Selain itu, kemunculan pertamanya di pentas WAGC secara jemputan dianggap sebagai batu loncatan yang cukup sempurna untuk kesinambungan kariernya bergelar pemain profesional dalam masa terdekat.
"Saya mahu menyertai saingan PGAM (anjuran Persatuan Golf Profesional Malaysia).
"Berdasarkan prestasi sekarang maka ada beberapa perkara yang perlu ditambah baik," katanya lagi.