Istilah ‘unfinished business’ menjadi gambaran tepat buat Sulaiman Husin yang kembali menyertai Kuching City, kali ini dengan tanggungjawab lebih besar sebagai pengarah teknikal kelab itu.
Selepas pernah berkhidmat sebagai penolong jurulatih dari 2021 hingga 2023, Sulaiman kini kembali dengan misi menyambung usaha pembangunan bola sepak di bumi Kenyalang, khususnya memperkukuh program di peringkat akar umbi.
Pengalaman lebih dua tahun bersama Kuala Lumpur Football Association (KLFA) sebagai pengarah teknikal turut menjadi bekalan penting buat Sulaiman untuk menggalas tanggungjawab baharu itu.
Dia bukan sahaja mahu membantu Kuching City membentuk hala tuju pembangunan yang lebih tersusun, malah berhasrat menyumbang kepada perkembangan bola sepak Sarawak menerusi kerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS).
Sulaiman melihat pelantikan itu sebagai peluang untuk membawa pengalaman serta pendekatan baharu dalam usaha memperkukuh asas pembangunan pemain muda.
“Saya melihat ini sebagai salah satu cabaran baharu dalam usaha untuk meningkatkan program akar umbi pasukan Kuching City,” katanya.
Kepulangan Sulaiman pastinya membawa dimensi baharu kepada perancangan pembangunan kelab berkenaan, dengan tumpuan bukan sekadar kepada pencapaian pasukan utama, tetapi juga pembentukan bakat tempatan untuk masa depan bola sepak Sarawak.