Pusingan terakhir PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 di Bandar Medini Iskandar, Johor, pada 21 dan 22 November ini menjadi medan paling penting buat pasukan PETRONAS SPRINTA YAMAHA-31 Racing untuk melengkapkan kempen dengan kejayaan berganda.
Pasukan itu kini berada di ambang kejuaraan kategori pelumba menerusi Md Farid Hakimi Farid Sezli yang mendahului carta CP-125 dengan kutipan 97 mata.
Pemilik pasukan, K. Sivanesan percaya peluang untuk mengesahkan kejuaraan berada dalam jangkauan, sekali gus membuka ruang buat pasukannya mengulangi pencapaian cemerlang musim 2024.
Ketika itu, mereka berjaya meraih kejuaraan penuh kategori Wira KBS selain gelaran pasukan pengeluar terbaik CP-125 menerusi prestasi pada pusingan keenam dan ketujuh.
Menurut Sivanesan, fokus utama ketika ini adalah memastikan setiap pelumba mendapat persediaan terbaik, termasuk aspek teknikal dan tetapan jentera bagi menghadapi perlumbaan penentuan.
“Saya lebih fokus kepada pasukan ini, banyak berkongsi pengalaman kepada pelumba untuk setiap perlumbaan, bagaimana mereka perlu menyediakan tetapan jentera,” katanya.
Bekas pelumba yang pernah mewarnai arena permotoran negara pada era 1990-an itu turut meluahkan keterujaan melihat perkembangan ekosistem sukan berkenaan yang semakin pesat.
Sivanesan melihat perkembangan itu sebagai petanda positif, khususnya dalam membuka lebih banyak ruang kepada pelumba muda untuk membina kerjaya dalam sukan permotoran.
Kini, segala perhatian tertumpu kepada Bandar Medini Iskandar apabila Farid Hakimi dan rakan sepasukan berpeluang menutup musim 2026 dengan kejayaan yang membanggakan.