Pengarah Kejurulatihan Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Ahmad Jais Baharun, menyifatkan tiada keperluan untuk pemain negara menyertai Liga Sepak Takraw Thailand (TTL) tatkala mereka masih terikat dengan Program Podium sehingga Disember 2026.
Ahmad Jais berkongsikan tiada tawaran rasmi dikemukakan kelab dari Thailand untuk dapatkan khidmat dua tekong negara, Syahir Rosdi dan Zarif Merican bagi menghadapi saingan kelayakan TTL yang bakal berlangsung dari 4 hingga 7 Disember depan.
Pada dasarnya PSM tidak menghalang jika ada pemain berhasrat untuk sertai TTL, namun perlu mendapatkan persetujuan Majlis Sukan Negara, selain kelab masing-masing perlu bersedia berdepan risiko sekiranya pemain mengalami kecederaan.
Terdahulu pada Jumaat, tular di laman media sosial rasmi TTL yang mengumumkan Syahir dan Zarif akan memperkuatkan pasukan Chonburi Pattaya Takraw Club dan Samut Prakan Takraw Club.
"Untuk TTL memang tiada permohonan rasmi daripada kelab tersebut terhadap Melaka Titan serta MSN dan PSM. Jadi tiada keperluan pemain beraksi di pentas TTL.
"Saya lihat pusingan kedua STL akan bermula sehari dua selepas kelayakan TTL, ia memberikan kerisauan buat pasukan untuk lepaskan pemain daripada aspek kecederaan dan sebagainya.
"Jika dilihat cabaran lebih besar, itu perkara yang kami lihat perlu dinilai bagi mengelak daripada risiko kecederaan," katanya.
Ahmad Jais turut mengakui dia sedia terima sebarang keputusan PSM berkenaan kedudukannya selaku ketua jurulatih sepak takraw negara, menjelang mesyuarat Jawatankuasa Kerja MSN yang bakal diadakan pada Khamis.
PSM ketika mesyuarat agung tahunan Sabtu lalu, memaklumkan pihaknya bakal lakukan rombakan barisan kejurulatihan melibatkan sektor lelaki dan wanita demi memastikan pembangunan sukan warisan itu lebih tersusun dan sistematik dari segenap aspek.
"Saya serahkan kepada PSM, jika saya dikekalkan kemudi pasukan negara tiada halangan buat saya, saya menurut perintah.
"Apa tugasan pun perlu komitmen tinggi, kami sudah berbincang untuk bawa jurulatih asing bagi skuad wanita menjelang Sukan SEA nanti.
"Kami akan berusaha dapatkan sumber lain, percepat proses dapatkan jurulatih bagi skuad Wanita negara." tambahnya.