Faktanya perkembangan dalam tempoh enam tahun perlaksanaan penswastaan hanya beberapa pasukan sahaja yang mampu dan faham konsep yang perlu diketengahkan.
Situasi ini mendapat sorotan Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John, yang menyifatkan perkembangan penswastaan Liga Malaysia (Liga-M) sebagai tidak normal.
Advertisement
"Mengambil kira senario berbanding liga-liga lain, kita boleh kategorikan sebagai tidak normal sebab terlalu lama untuk menyesuaikan diri kepada status baru. Terlalu lama, terlalu lama," katanya.
Penswastaan adalah usaha pemisah secara menyeluruh di antara kelab bola sepak dengan persatuan negeri kerana jelas, perlu ada elemen berdikari dan usaha untuk mencari dana sendiri.
Watak penting yang memacu posisi utama di peringkat kelab perlu memainkan peranan penting dengan senario bola sepak kini perlu berteraskan sebuah perniagaan.
"Dalam kontek era profesional, kelablah yang perlu bermain dalam pertandingan kelab, jadi (mereka perlu) beralih kepada entiti komersial, (iaitu) FC (kelab), sebagai sebuah kelab bola sepak.
"Jadi dalam peralihan daripada persatuan kepada kelab -- apa yang penting adalah, siapa yang mengendalikan FC. Siapa?" katanya.