Skip to main content

Sepak Takraw

Thana tawan semula kerusi Presiden Persatuan Sepak Takraw Thailand

Thana

Setiausaha Agung Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF), Datuk Abdul Halim Kader, mengesahkan Thana Chaiprasit kembali menyandang jawatan Presiden Persatuan Sepak Takraw Thailand (TAT) selepas memenangi pemilihan dalam Mesyuarat Agung (AGM) badan induk negara itu, hari ini.

Menurut Abdul Halim, Thana berjaya menewaskan pencabarnya, Boonchai Lorhpipat, sekali gus menamatkan teka-teki kepimpinan TAT yang sebelum ini bergolak susulan prestasi hambar skuad kebangsaan Thailand.

Advertisement

“Kemenangan itu membuka lembaran baharu buat hala tuju sepak takraw Thailand yang sebelum ini berdepan tekanan hebat,” katanya.

Untuk rekod, pada awal Februari 2026, Thana mengambil keputusan meletakkan jawatan sebagai Presiden TAT selepas siri kegagalan skuad Thailand di pentas antarabangsa, dengan kemuncaknya pada saingan Sukan SEA 2025.

Keputusan tersebut mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan peminat dan pemerhati sukan tradisi itu.

“Dengan kembalinya Thana ke tampuk kepimpinan, perkara ini dilihat sebagai usaha menstabilkan semula pentadbiran dan prestasi skuad Thailand yang selama ini dikenali sebagai kuasa besar sepak takraw dunia,” tambahnya.

Situasi berkenaan bagaimanapun dilihat berpotensi mempengaruhi landskap kepimpinan di peringkat antarabangsa, khususnya dalam ISTAF sendiri.

“Ini kerana Boonchai Lorhpipat ketika ini memegang jawatan sebagai Pemangku Presiden ISTAF, sebarang perubahan dalam kepimpinan ISTAF hanya akan diketahui selepas Mesyuarat Agung yang dijadualkan berlangsung pada Jun depan,” jelasnya.

Mesyuarat tersebut bakal menentukan barisan kepimpinan baharu yang akan menerajui hala tuju sepak takraw di peringkat global.

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found