Beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah, muncul juara Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong apabila mengatasi gandingan Jepun, Sumire Nakade-Miyu Takahashi, dalam aksi final di Kai Tak Sports Park sebentar tadi.
Turun selaku pilihan kedua, gandingan negara itu diberikan tentangan sengit sejak dari awal permainan dengan aksi kejar-mengejar mata tetapi sebaik kedudukan terikat 20-20, Pearly dan Thinaah mempamerkan ketenangan untuk memenangi dua mata terakhir.
Skrip sama hampir berulang dalam set berikutnya tetapi kali ini, gandingan negara itu mula mendapatkan rentak lebih awal, di mana selepas kedudukan terikat 14-14, mereka tidak lagi menoleh ke belakang untuk bergelar juara dengan kemenangan 21-16 selepas secara keseluruhan bertarung selama 40 minit.
Kemenangan itu melengkapkan kejuaraan berganda Malaysia dalam kejohanan berkenaan selepas beregu lelaki, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, turut mengungguli kategori mereka.