Timbalan Naib Presiden Serie C, Gianfranco Zola, menegaskan kancah itu harus memberi keutamaan kepada pembangunan bakat baru berbanding menggunakan khidmat bintang.
Pandangan itu diluahkan selepas Ronaldinho kembali beraksi sebagai pemain profesional pada usia 46 tahun yang membantu Ravenna menang 2-0 ke atas Forli minggu lalu.
Bekas tonggak Brazil itu turut mencipta gerakan gol buat Giulio Donati sambil kemunculannya mengundang ramai peminat bertandang ke Stadium Benelli, sekali gus melonjakkan kutipan tiket yang habis terjual dengan jumlah €199,000.
Bagaimanapun, Zola -- yang tetap menghormati Ronaldinho sebagai legenda -- tidak sepenuhnya menolak idea itu cuma mahu kancah divisyen bawahan menjadi platform kepada perkembangan bakat di Itali.
"Dia seorang legenda, namun misi Serie C haruslah berbeza: mewujudkan keadaan terbaik supaya mereka yang pernah atau sedang mendapat inspirasi daripada Ronaldinho mampu menyerlah dan mengikut jejak langkahnya.
"Perkara ini harus jelas buat semua pihak. Inilah masa depan kita," katanya.