Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, sekali lagi bergelar juara apabila mengungguli Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong dengan menumbangkan gandingan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin, dalam aksi final di Kai Tak Sports Park sebentar tadi.
Gandingan negara itu kembali digandingkan dan muncul juara Terbuka Perancis dengan menewaskan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dalam aksi final pada 25 Oktober lalu dan tidak sampai sebulan, mereka sekali lagi menggenggam kejuaraan.
Man-Tee bermula perlahan pada awal set pertama tetapi menuju ke pertengahan permainan mereka mula mempamerkan penguasaan untuk mencatatkan kemenangan 21-19.
Rentak berbeza dipamerkan mereka dalam set kedua sehingga pada satu ketika jauh mendahului 14-4.
Kelebihan besar itu memberikan mereka lebih keselesaan untuk mengawal rentak permainan sebelum menamatkan saingan dengan kemenangan 21-18 selepas secara keseluruhan bertarung selama 39 minit.