Skip to main content

Bola Sepak

(TERKINI) Skandal 7 warisan Harimau Malaya: FIFA-AFC ada lesen 'sailang' FAM

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

FAM

Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) boleh campur tangan dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi memperbetulkan kepincangan tadbir urus, termasuk pindaan statut badan induk kebangsaan itu jika perlu.

Sama ada Keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) memihak kepada FAM atau tidak, FIFA mahupun AFC boleh mengambil alih tadbir urus FAM secara sementara bagi memulihkan keadaan.

Advertisement

Merujuk kepada masalah yang sedang menyelubungi badan induk negara itu, persoalan sama ada FAM bakal digantung terus menjadi perdebatan rentetan tuduhan berat melibatkan isu dokumentasi salah laku FAM terhadap tujuh pemain warisan.

Sudah pasti, perkara itu harus dielakkan.

Namun, sekiranya kredibiliti kepimpinan terus dipersoal, dan FAM menghadapi kesukaran untuk menyelesaikan kemelut ini, FIFA dan AFC boleh mengambil alih pengurusan badan kebangsaan itu secara keseluruhan.

Terdapat dua senario:

1) Pemulihan secara luaran (external). FIFA atau AFC akan membentuk jawatankuasa interim atau jawatankuasa normalisasi bagi memperbaiki keadaan SEKIRANYA FIFA mengenakan hukuman penggantungan dan exco FAM terlucut jawatan serta-merta sehingga tarikh yang ditetapkan. Jawatankuasa interim atau normalisasi akan mengenal pasti kepincangan tadbir urus dan mengambil langkah-langkah pemulihan, kemudian, baru FAM boleh melakukan pemilihan pucuk pimpinan.

"Jika FIFA kata tadbir urus FAM ada kelemahan dan banyak perkara yang harus diperbaiki, FAM boleh dikenakan hukuman gantung. Ini sekadar contoh. Kita tidak tahu pemikiran FIFA. Kerana, perkara ini pernah terjadi. Indonesia, Kuwait dan Brunei antara yang pernah kena.

"Ini semua untuk memperbetulkan kelemahan sesebuah persatuan.

"Kalau FIFA menggantung FAM, maka semua pasukan kebangsaan dan kelab tidak boleh beraksi luar daripada Malaysia.

"Liga tempatan boleh berjalan.

"Tetapi semua skuad negara tidak kira senior atau bawah 12 tahun (B-12) sekali pun, termasuk kelab yang bertanding mewakili Malaysia (Contohnya Johor Darul Ta'zim - JDT dan Selangor) dalam Liga Juara-Juara Asia, tidak akan dibenarkan beraksi di luar.

"Itu adalah keadaan yang sangat drastik yang mana-mana negara tidak ingin ia berlaku," kata Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John, kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.

2) Pemulihan dalaman (internal). Ia merangkumi KESEDARAN dan inisiatif daripada exco FAM sendiri secara profesional untuk beramai-ramai meletakkan jawatan.
Jawatankuasa sementara akan dibentuk memperbaiki kelemahan yang ada berpandukan laporan Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) dan laporan FIFA di peringkat jawatankuasa disiplan serta rayuan.

Bagaimanapun, TIDAK SALAH seandainya FAM mempertimbang untuk menjemput AFC melakukan audit pengurusan bagi mengenal pasti atau memperbetul kelemahan yang ada.

"Ini pula adalah senario berbeza. Bukan automatik boleh anjurkan kongres. Peraturan dan mekanisme harus diteliti.

"Dalam pada itu, persatuan harus diurus. Satu badan sementara (Kebiasaannya lantikan FIFA-AFC) akan membantu seketika.

"TETAPI, persatuan juga dengan sendirinya boleh memperbaiki keadaan. Contohnya mengadakan FAM BOLEH BERSETUJU melantik sekumpulan ahli dengan syarat bukan daripada kalangan FAM itu sendiri dalam Kongres FAM sebelum meletak jawatan beramai-ramai. Jawatankuasa itu diberi mandat untuk mengurus FAM dengan bantuan Setiausaha Agung sehingga keadaan pulih," tambahnya.

Sebagai PERINGATAN, kedua-dua pendekatan ini tetap memerlukan kehadiran Setiausaha Agung FAM dengan bantuan kepakaran FIFA serta AFC untuk membersihkan semula imej FAM.

Must Watch Video