Bekas Presiden Persatuan Olahraga Selangor (POS), Nurhayati Karim, menyifatkan tempoh kepimpinannya sejak Januari 2024 hingga 1 November lalu sebagai satu perjalanan yang penuh cabaran disulami pengorbanan dalam usaha memulihkan kedudukan kewangan persatuan serta memperkukuh pembangunan olahraga di negeri itu.
Nurhayati, yang tidak dipilih semula dalam pemilihan POS pada 1 November lalu, berkata kepimpinannya mewarisi baki wang tunai hanya RM210 pada Januari 2024. Dalam tempoh dua tahun, katanya, jumlah pendapatan persatuan mencecah kira-kira RM250,000, manakala dana terkumpul persatuan meningkat kepada RM130,464 pada akhir tahun 2025, berdasarkan penyata kewangan yang telah diaudit.
Katanya, pencapaian tersebut dicapai melalui model pendapatan sendiri, iaitu yuran kelulusan (sanksi) acara larian jalan raya dan maraton. Pada tahun 2025 sahaja, yuran kelulusan acara menyumbang RM60,720 atau 57 peratus daripada jumlah pendapatan persatuan.
“Daripada hanya RM210, kita berjaya membina kedudukan kewangan yang lebih stabil. Ini membuktikan bahawa kekurangan sumber bukan penghalang kepada kejayaan jika disertai keberanian, perancangan dan kerjasama,” katanya.
Dia turut menanggung sendiri sebahagian kos perundangan berkaitan usaha pendaftaran semula POS, tanpa sebarang tuntutan bayaran balik daripada persatuan, kerana percaya persatuan itu mempunyai masa depan yang perlu diperjuangkan.
Nurhayati berkata, kekuatan kewangan yang dibina kemudiannya diterjemahkan kepada program pembangunan atlet, termasuk penganjuran Kejohanan Olahraga Remaja Selangor2024 yang menghimpunkan lebih 1,700 atlet dan kira-kira 3,000 pengunjung di Stadium Mini Bukit Jalil.
Menurut beliau, kejohanan tersebut memperkenalkan pelbagai pembaharuan seperti penggunaan sistem elektronik sepenuhnya, paparan skrin LED, keputusan masa nyata, liputan media sosial serta hadiah wang tunai kepada pemenang sebagai usaha meningkatkan pengalaman pertandingan kepada atlet muda.
Kejayaan itu turut menarik minat sektor korporat apabila PUMA tampil menaja hadiah kepada atlet yang menaiki podium. Nurhayati berkata, dari aspek pembangunan sumber manusia sukan, POS memberi penekanan kepada latihan jurulatih dan pegawai teknikal. Sejak 2024, sebanyak 28 kursus World Athletics CECS Level 1 telah dianjurkan di Selangor, melatih 591 jurulatih termasuk 147 jurulatih wanita, selain kursus Level 2 khas untuk 18 jurulatih wanita.
Usaha mewujudkan akademi kejurulatihan juga dimulakan bagi memperluaskan akses pendidikan sukan di Selangor. Mengulas krisis dalaman pada tahun 2025, Nurhayati berkata persatuan diuji apabila usul tidak percaya dikemukakan terhadap kepimpinannya. Beliau menegaskan setiap proses ditangani mengikut perlembagaan, termasuk memberi tempoh rayuan yang mencukupi, dan keputusan muktamad dibuat dalam Mesyuarat(POS).
“Saya sentiasa percaya bahawa keadilan perlu dihormati walaupun keputusan yang dibuat mungkin tidak memihak kepada kita. Perlembagaan bukan alat untuk memenangkan manamana pihak tetapi menjadi panduan yang melindungi semua pihak dalam organisasi,” katanya.
Walaupun berhadapan pelbagai tekanan dalaman, beliau berkata POS terus meneruskan agenda pembangunan termasuk memperkukuh sistem kelulusan acara larian yang kemudiannya dijadikan antara rujukan dalam pembangunan garis panduan Malaysia Athletics serta mendapat perhatian World Athletics melalui jemputan berkongsi pengalaman berkaitan model kebebasan kewangan persatuan.
Nurhayati turut mengucapkan tahniah kepada M. Ganesh atas pemilihan beliau sebagai Presiden POS dan menyatakan kesediaan penuh untuk membantu proses penyerahan tugas.
“Saya mencabar kepimpinan baharu untuk meneruskan apa yang telah kita bina dan menjadikannya berlipat kali ganda lebih baik. Kita bermula dengan RM210 dan meninggalkan dana terkumpul RM130,464, selain 591 jurulatih terlatih dan kejohanan remaja dengan lebih 1,700 atlet. Biarlah angka-angka ini menjadi garis permulaan, bukan garis penamat. Saya ingin melihat lebih ramai atlet, lebih ramai jurulatih dan pegawai teknikal, serta kewangan yang lebih kukuh dalam tempoh dua tahun akan datang,” katanya.
Beliau menambah, cabaran yang paling besar ialah melaksanakan tadbir urus mengikut amalan terbaik.
“Keputusan tatatertib telah diputuskan oleh perwakilan dalam Mesyuarat Agung mengikut perlembagaan, dan sebarang semakan semula wajar melalui saluran yang sama secara telus. Dalam apa jua perkara yang melibatkan ahli keluarga, pemimpin wajar mengisytiharkan kepentingan dan menarik diri daripada membuat keputusan. Ini bukan soal individu, tetapi soal kepercayaan ahli dan atlet terhadap persatuan.”
Beliau menyeru seluruh warga olahraga Selangor agar mengetepikan perbezaan pendapat dan memberi keutamaan kepada kepentingan atlet. Nurhayati menegaskan bahawa jawatan dan kepimpinan boleh berubah, namun perjuangan membangunkan olahraga serta masa depan generasi muda perlu diteruskan demi memastikan Selangor kekal menjadi antara kuasa utama olahraga negara.
“Kita perlu membina satu templat tadbir urus yang mapan dan tidak bergantung kepada individu supaya olahraga di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan dapat dikendalikan secara profesional dan telus,” tegasnya.