Tahukah anda Harimau Malaya tidak pernah kalah kepada Indonesia ketika beraksi di Stadium Gelora Bung Karno (GBK) sejak 2010.
Keputusan seri tanpa jaringan menentang Indonesia di laman keramat mereka itu dalam saingan Piala ASEAN FIFA malam tadi melebarkan rekod tanpa kalah Harimau Malaya di GBK.
Kali terakhir Malaysia tewas kepada Indonesia di GBK adalah ketika final kedua Piala AFF 2010 tetapi kekalahan 1-2 itu tidak dapat menafikan Harimau Malaya daripada menjulang piala serantau berkenaan di depan kira-kira 70,000 penyokong tuan rumah berbekalkan kelebihan agregat 3-0, yang dibawa daripada aksi pertama di Bukit Jalil.
Selepas itu, skuad B-23 negara menewaskan Indonesia 1-0 dalam perlawanan peringkat kumpulan Sukan SEA 2011 sebelum bergelar pemenang pingat emas dalam aksi final dengan menewaskan Indonesia menerusi penentuan sepakan penalti 4-3 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sepanjang 120 minit.
Lapan tahun kemudian, Harimau Malaya dan Garuda kembali bertemu di GBK dalam pusingan kelayakan Piala Dunia pada September 2019, di mana pasukan bimbingan Tan Cheng Hoe ketika itu bangkit secara dramatik menewaskan Indonesia 3-2.
Terbaru, Malaysia menguasai penuh aksi Piala ASEAN FIFA malam tadi tetapi buntu di depan gawang untuk terikat 0-0 dengan Indonesia.
Mungkinkah akan ada lagi pertemuan Malaysia-Indonesia pada masa akan datang? Dapatkah Harimau Malaya mempertahankan rekod itu selepas ini?