Tekong utama negara yang juga tekong nombor satu dunia, Syahir Rosdi, mengakui saingan Sepak Takraw League (STL) memainkan peranan yang cukup penting dalam sejarah kebangkitan skuad negara di pentas antarabangsa.
Pemain yang mesra disapa 'panjang' itu berkongsikan STL merupakan medan pemain membuktikan kemampuan di samping membina keyakinan diri untuk bersaing di peringkat yang lebih tinggi.
Dia turut percaya, lebih ramai bakat pelapis dapat dilahirkan menerusi kejohanan seperti STL sekali gus mewujudkan saingan sihat dalam kalangan pemain untuk rebut tempat dalam kem negara.
"Sumbangan STL sangat membantu, kalau tiada STL prestasi kami tidak sampai ke tahap ini.
"Dengan ada STL, semua atlet mahu rebut tempat dan bersaing, jadi STL medan semua pemain naikkan tahap permainan." katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.