Terengganu langkah kanan apabila memulakan aksi pembukaan acara bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) 2026 dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas Sabah di Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), petang tadi.
Kedua-dua pasukan mempamerkan tempo permainan seimbang pada awal babak pertama dengan masing-masing cuba menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca serta padang dalam misi memburu jaringan.
Terengganu mempertahankan gol tunggal perlawanan pada minit ke-11 yang dijaringkan pemain tengah Terengganu, Arman Dhani, hingga tamat separuh masa pertama untuk mengutip mata penuh.
Ia menjadi satu kemenangan penting tetapi ketua jurulatih, Badrul Afzan Razali, mengakui perlu mengubah taktikal permainan ekoran beberapa tonggak utama terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan.
"Kami bermain baik dalam separuh masa kedua tetapi agak leka, hingga beri ruang untuk Sabah melancarkan serangan.
"Saya harap pemain segera menyesuaikan diri meskipun bermain pada sebelah petang," katanya.
Ketua jurulatih Sabah, Raisal Ahmad, pula menyifatkan perlaksanaan taktikalnya berjaya menyaksikan anak buahnya mampu beri saingan sengit kepada lawan yang juga juara edisi 2022 itu.
Hanya kesilapan mudah memaksa mereka akur dengan kekalahan.
"Apabila bolos, memang agak payah untuk bangkit.
"Secara keseluruhannya saya bangga dengan anak buah kerana dapat berikan yang terbaik biarpun Terengganu hadir sebagai salah satu pasukan pilihan," katanya.