Kejayaan Rabiatul Adawiyah Mohd Yunus muncul juara dunia membuka laluan lebih cerah buat atlet muaythai negara itu untuk merebut tempat ke Sukan SEA 2027 di Malaysia tahun depan.
Rabiatul Adawiyah menjuarai kategori 48 kilogram (kg) Bawah 24 Tahun (B-24) wanita pada Kejohanan Muaythai Senior Dunia IFMA 2026 di Kosovo pada Jumaat.
Ketua jurulatih negara, Bernard Radin menyifatkan kejohanan itu sebagai medan penting untuk menilai kemampuan 10 atlet yang dibawa ke Kosovo, termasuk dalam menentukan barisan terbaik bagi menghadapi Sukan SEA 2027.
Bagaimanapun, beliau mahu aspek kekuatan mental diberi perhatian selepas mendapati masih ada atlet yang mudah hilang keyakinan apabila berdepan lawan berstatus juara dunia.
“Status dan pencapaian pihak lawan tidak seharusnya menyebabkan atlet hilang keyakinan sebelum memasuki gelanggang.
“Persediaan menuju Sukan SEA 2027 bukan sahaja akan memberi tumpuan kepada aspek fizikal dan teknikal, tetapi juga ketahanan mental, keyakinan serta kemampuan mengendalikan tekanan di pentas antarabangsa,” katanya.
Dalam saingan di Kosovo itu, Wassof Rumijam yang merupakan pemenang pingat emas Sukan SEA Thailand 2025 meraih perak dalam kategori 54kg lelaki Ring Combat.
Wassof tewas kepada juara dunia dari Turkiye, Hamza Eren dalam aksi final.
Selain itu, Marshall Jaydden Jerry turut menambah koleksi emas negara selepas menjuarai disiplin Wai Kru lelaki, sekali gus meneruskan prestasi cemerlangnya di pentas antarabangsa.
Marshall sebelum ini turut muncul juara pada Kejohanan Muaythai Jemputan Dunia IFMA 2026 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Nur Arisya Sofea pula membawa pulang dua pingat selepas meraih perak dalam kategori 45kg wanita Ring Combat dan emas dalam disiplin Muaythai Teknikal (Tatami).
Nur Arisya tewas kepada wakil Vietnam, Mai Hoang Khanh dalam Ring Combat sebelum bangkit menewaskan atlet India, Ayushree Banerjee untuk muncul juara dalam saingan Tatami. -- Sinar Harian