Aaron Chia dan Soh Wooi Yik terpaksa lupakan Final Jelajah Dunia BWF?
Pengarah Kejurulatihan Beregu Badminton Negara, Rexy Mainaky, melihat peluang untuk pasangan itu mencuri kedudukan lapan terbaik untuk ke Final Jelajah Dunia BWF semakin tipis.
Lebih memburukkan keadaan, kondisi kecergasan pasangan itu tidak hanya terjejas rentetan kecederaan tapak kaki Wooi Yik, malah Aaron juga dikhabarkan berdepan kecederaan baharu dalam Masters Jepun 2026 baru-baru ini.
Situasi terkini nampaknya tidak membuka jalan yang baik untuk pasangan negara berkenaan sehingga terpaksa menarik diri selepas enam minit beraksi dalam pusingan pertama Masters Jepun.
Keadaan ini menyulitkan lagi usaha kem negara untuk melihat sekurang-kurangnya dua wakil negara berada dalam saingan beregu lelaki dalam Final Jelajah Dunia BWF di China bulan depan.
Rexy membayangkan situasi itu memberikan ruang buat pasangan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard, untuk mengatasi kedudukan Aaron-Wooi Yik, yang ketika ini berada di ranking kelapan kelayakan ke Final Jelajah Dunia BWF.
"Semalam kita dapat lihat gandingan Denmark itu mengatasi Man Wei Chong-Tee Kai Wun, jadi mereka akan berada di atas Aaron-Wooi Yik," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
"Kerana mereka berada di tangga kesembilan dan Aaron-Wooi Yik pula berada di tangga kelapan, jadi kejayaan mereka ke suku akhir akan menghambat kedudukan Aaron-Wooi Yik.
"Jadi peluang mereka untuk Final Jelajah Dunia BWF sangat tipis tetapi kita harapkan mereka dapat bermain dengan baik dalam Terbuka Hong Kong yang akan datang."