Kem berbasikal Malaysia cemerlang!
Jaguh berbasikal trek kebangsaan, Ridwan Sahrom, mendedikasikan pingat emas buat keluarga terutama abangnya, Shah Firdaus Sahrom, dalam Sukan SEA Thailand, hari ini.
Advertisement
Ridwan tersenarai dalam aksi final bersama rakan senegara, Fadhil Zonis, berdepan pelumba tuan rumah berpengalaman, Angsutthasawit Jai, dalam buruan pingat emas acara keirin.
Ridwan menemui jalan di selekoh terakhir sebelum memintas pelumba Thailand itu sebelum melepasi garisan penamat selaku pemenang.
Hampir dikejutkan namun henjutan saat akhir Ridwan Sahrom sahkan emas buat Malaysia dalam acara Keirin Individu Lelaki, berjaya buktikan dia antara pengganti terbaik buat Dato' Azizulhasni Awang bersama abangnya, Shah Firdaus Sahrom 🔥@ASTROARENA pic.twitter.com/DAkbnnZ7fL
— Kamal Nizam (@kamalnizamm) December 18, 2025
"Emas ini untuk ibu bapa saya. Saya bersyukur sangat.
"Saya menghabiskan masa selama sebulan di Thailand. Apa yang saya lalui sebelum ini membabitkan latihan penuh akhirnya membuahkan hasil.
"Emas ini juga untuk Shah. Saya berharap dia kembali daripada kecederaan," katanya kepada wartawan Astro Arena, Kamal Nizam.
Sementara itu, Nur Aisyah Zuber juga tidak melepaskan peluang menghadiahkan emas kedua Malaysia dalam sukan berbasikal selepas ungguli acara scratch wanita yang juga merupakan emas Sukan SEA pertama kariernya.
"Emas ini sangat bermakna. Saya kena buktikan sesuatu.
"Saya bawa tanggungjawab yang berat untuk pasukan bagi memastikan berada di tempat terbaik.
"Supaya pada masa akan datang kami terus mendapat lebih banyak peluang dan ruang untuk beraksi di peringkat lebih tinggi," katanya.
Lebih menarik, skuad kejar-mengejar (pursuit) berpasukan lelaki negara juga menjelmakan emas ketiga yang juga merupakan pingat ke-200 kontinjen Malaysia, sekali gus menyaksikan Malaysia mencapai sasaran yang ditetapkan.
"Saya berpendapat sukan berbasikal ini selalu mencapai matlamat. Hari ini kita mencapai sasaran keseluruhan.
"Pada 2017 juga daripada kami dengan 111 pingat.
"Ini adalah momen paling membanggakan," kata Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh.