"Saya menolak keras, pemilihan sukan bukan keputusan sepihak Malaysia selaku tuan rumah."
Kenyataan itu dikeluarkan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, berikutan dakwaan Malaysia bertindak mengenepikan beberapa acara sukan Sukan SEA 2027.
Jelas Taufiq, senarai akhir 43 jenis sukan yang bakal dipertandingkan adalah hasil persetujuan bersama kesemua 11 negara anggota Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF).
Malah, proses yang berlangsung turut membuka ruang kepada setiap negara mengemukakan rayuan sebelum keputusan dimuktamadkan.
Selain mengesahkan ada menerima surat daripada Indonesia pada 13 November lalu, Taufiq menegaskan ia bukanlah satu bentuk bantahan atau boikot, sebaliknya permohonan agar beberapa acara tambahan dapat dipertimbangkan.
Namun, sebarang keputusan akhir perlu mematuhi piagam dan peraturan persekutuan yang menjadi asas dalam menentukan program sukan temasya dwitahunan tersebut.
"Senarai sukan dan disiplin diperaku oleh jawatankuasa sukan dan peraturan, kemudian (ke peringkat) jawatankuasa eksekutif dan diluluskan oleh Majlis SEAGF melalui majoriti mudah, NOC (Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan) dan anggota yang layak.
"Senarai acara yang dimuktamadkan dan diluluskan oleh jawatankuasa eksekutif tidak boleh dipinda kecuali diluluskan jawatankuasa eksekutif itu sendiri dan melalui majoriti mudah NOC dan anggota yang layak.
"Penetapan sukan ini telah dibahas, dibentangkan, diundi dan dipilih secara rasmi melalui laluan yang betul dan melibatkan 11 NOC yang terlibat.
"Saya menolak dengan keras sebarang pendapat bahawa pemilihan acara sukan ini dibuat secara sepihak," katanya.