"Rasa sakit tapi saya perlu letak tepi."
Menerusi saingan dengan jadual yang padat peserta dari Johor, Nurul Aishah Salleh, mengetepikan rasa sakit demi merealisasikan prestasi terbaik dalam penampilan terakhir dalam Kejohanan Boling Tenpin Sirkit Belia Kebangsaan Grand Prix (GP) Final 2026, semalam.
Ternyata keputusan itu tidak sia-sia apabila buat pertama kali dia menjuarai kategori terbuka wanita.
Dalam saingan pentas akhir stepladder, gelaran juara menjadi milik Nurul Aishah menerusi 247 jatuhan pin tatkala tempat kedua milik Nurin Nabihah Roslan dari Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) dengan 186 jatuhan pin.
"Saya agak bangga dengan tahap persembahan hari ini sebab semalam sudah mengharungi 14 game," katanya di Nadi Arena.
Muhammad Akif Darwish Dzulhakimy mempamerkan ketenangan tinggi dengan menganggap pentas final ibarat rutin latihannya ketik amengungguli kategori terbuka lelaki.
Situasi ini lebih mudah buatnya apabila aksi di pentas akhir melibatkan rakan sepasukannya dari MMBC Penang iaitu Muhammad Eikhsan Mohd Erwan.
Akif Darwish cemerlang dengan mencatat 228 jatuhan pin mengatasi Eikhsan dengan 201 jatuhan pin.
"Saya beraksi seperti latihan kerana berdepan dengan rakan sepasukan, jadi permainan tadi agak kurang tegang dan saya menikmati permainan.
"Saya beraksi agak santai hari ini, lagipun pihak lawan bergelut dengan kesukaran di lorongnya.
"Ia telah memberi ruang kepada kebangkitan pihak lawan (tapi saya masih dapat mengatasinya) dengan corak permainan yang lebih berbeza dengan rakan-rakan lain," katanya.