Kematangan dan pengalaman Tan Cheong Min menjadi sandaran utama kem wushu negara dalam misi memburu pingat emas pertama Malaysia dalam temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Ratu wushu negara itu dilihat antara prospek utama untuk menyumbang kilauan emas buat kontinjen negara selepas membuktikan kemampuan meraih pingat perak pada edisi lalu di Hangzhou.
"Untuk Cheong Min, dia atlet yang sudah matang. Kami tahu ada lapan acara, enam acara dikuasai China dan Hong Kong. Kami harap atlet boleh berikan yang terbaik.
"Saya harap atlet tidak tercedera kerana ramai antara mereka orang lama, kerana itu setiap hari bawa mereka ke fisiologi bagi mengelak daripada kecederaan." kata Presiden Persekutuan Wushu Malaysia, Chong Kim Fatt.
Cheong Min yang juga pembawa Jalur Gemilang bersama Muhammad Azeem Fahmi dijadualkan beraksi lebih awal berbanding beberapa prospek lain seperti skuasy, sepak takraw dan berbasikal trek.
Dia akan beraksi dalam acara wanita nankuan dan nandao di Aichi Prefectural Martial Arts Hall, pada Selasa depan dan kini mengejar emas Sukan Asia pertama dalam kariernya.
Untuk rekod, ini merupakan penampilan sulung buat beberapa anggota skuad wushu di temasya Sukan Asia termasuk Mohd Danish Aizad, Lee Jia Rong dan Loh Ying Ting, meskipun masing masing sudah menyerlah di Kejohanan Antarabangsa lain .