'Saya mohon maaf'. Itu luahan penuh emosi ratu wushu negara, Tan Cheong Min, selepas impiannya menukar warna pingat daripada perak kepada emas tidak kesampaian pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Atlet berusia 28 tahun itu yang memenangi perak di Hangzhou 2022, terpaksa berpuas hati dengan gangsa selepas menamatkan acara gabungan nanquan dan nandao di tempat ketiga dengan 19.389 mata.
Cheong Min mengakui keputusan itu di luar jangkaannya kerana sasaran awal adalah sekurang-kurangnya perak, selain cuba mencabar pingat emas.
Kesilapan ketika acara nandao menjadi antara faktor yang menjejaskan kutipan markahnya apabila pendaratan yang sedikit tidak stabil menyebabkan markah dipotong.
“Saya sedikit terkilan untuk kontinjen Malaysia dan diri sendiri kerana kami sudah lama membuat persiapan untuk saingan ini.”
Namun, Cheong Min tetap bersyukur kerana masih berjaya berada di podium selepas menyedari keadaan mungkin lebih buruk jika dia menamatkan saingan di luar kelompok tiga terbaik.
“Walaupun persembahan saya tidak sempurna, saya tetap gembira dan bersyukur kerana segala kerja keras kami sekurang-kurangnya membuahkan pingat gangsa.”
Pingat emas menjadi milik wakil tuan rumah China, Zhang Yaling selepas mengumpul 19.569 mata, manakala wakil Uzbekistan, Darya Latisheva meraih perak dengan 19.413 mata.
Bagi Cheong Min, pingat gangsa itu hadir dalam suasana penuh emosi, apatah lagi saingan Aichi-Nagoya 2026 berpotensi menjadi ‘The Last Dance’ dalam kariernya di pentas Sukan Asia.