Perubahan terburu-buru di pertengahan musim hanya mengganggu kemajuan yang sedang berlaku.
Atlet pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi, berlapang dada untuk menerima tunjuk ajar ketua jurulatih pecut baru kelahiran Afrika Selatan, Thabo Matebedi, dengan bersyarat.
Azeem mengharapkan pengertian semua pihak, kelangsungan latihannya bersama jurulatih semasanya, Ken Harnden, dalam situasi yang baik dan jika berlaku sebarang perubahan drastik, ia sedikit sebanyak ganggu sasaran utamanya mengubah warna pingat dalam Sukan Asia Aichi-Nagoya yang bermula 19 September depan.
"Buat masa ini, matlamat kami akan kekal bersama Ken Harnden hingga habis musim ini memandangkan kami sudah di bawah programnya sejauh tahun lalu.
"Mungkin apa-apa keputusan (lain) bergantung selepas Sukan Asia," katanya di Nadi Arena.
Sasaran bawah 10 saat masih menjadi keutamaan pelari kelahiran Perak itu, selain misi mencari podium ketika ini tatkala dia bakal berlepas ke China untuk Kejohanan Olahraga B-23 dan tidak teragak agak mencari podium utama dalam temasya yang bermula Isnin depan.
Dalam masa sama, Azeem mahu keluar daripada tekanan ciptaannya sendiri, selepas catatan bawah 10s menjadi subjek utama sejak beberapa tahun lalu.
"Sebagai pelari pecut, (prestasi) latihan saya hanyalah berkisar kepada catatan 10s.
"Memanglah masuk final dan memecahkan catatan peribadi adalah satu pencapaian yang baik, tapi saya lebih rela menang (pingat) Sukan Olimpik dengan catatan 10.3s berbanding 9.8s tapi menduduki tempat tercorot," katanya lagi.