Baru setahun berada dalam Program Podium, Mohamad Syahmi Nor Ghazali sudah membuktikan dirinya bukan sekadar pelengkap skuad angkat berat negara.
Atlet kelahiran Kuala Lumpur itu muncul juara mengejut kategori 94 kilogram di Sukan Komanwel Glasgow 2026, walaupun tidak hadir sebagai pilihan utama.
Kini, kejayaan tersebut menjadi pembakar semangat untuk Syahmi melangkah lebih jauh di Aichi-Nagoya.
Lebih daripada sekadar pingat, Syahmi mempunyai misi peribadi untuk mengubah kehidupan keluarganya.
Membesar dalam keadaan serba sederhana, dia melihat sendiri pengorbanan ibu bapanya mencari rezeki demi keluarga.
Kini tiba masanya Syahmi mengambil alih tanggungjawab tersebut.
Setiap peluang di pentas antarabangsa dianggapnya sebagai peluang untuk membuktikan kemampuan dan pada masa sama membantu keluarganya.
Namun, Syahmi tidak mahu terlalu lama berada dalam Program Podium.
Impian sebenarnya jauh lebih besar -- melayakkan diri ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.