Selepas hampir separuh usianya dihabiskan untuk sepak takraw, feeder negara, Amirul Zazwan Amir, kini mula memikirkan kehidupan selepas sukan.
Atlet yang lebih mesra disapa Ayong itu mengakui sudah penat dengan tuntutan sebagai atlet dan sedang mempertimbangkan untuk bersara selepas Sukan Asia Aichi-Nagoya.
“Saya dah bincang dengan orang rumah saya,” katanya.
Keputusan Ayong bagaimanapun bergantung kepada prestasi skuad negara di Aichi-Nagoya.
Jika Malaysia berjaya memecahkan dominasi Thailand dan mencapai sasaran emas, temasya itu mungkin menjadi pentas terakhir buatnya sebelum kembali menikmati kehidupan lebih normal bersama isteri dan anak.
Ayong mempunyai rekod membanggakan apabila membantu negara muncul juara regu berpasukan Piala Dunia dan Sukan SEA 2025, selain menjadi sebahagian daripada skuad yang menamatkan kemarau emas 34 tahun.
Kini, satu lagi misi menanti -- membantu Malaysia menamatkan kemarau emas Sukan Asia yang sudah berlarutan 36 tahun.
Jika misi itu berjaya, mungkin tiada masa yang lebih tepat untuk Ayong berkata selamat tinggal kepada sepak takraw.