Jika anda aktif dalam dunia larian atau berbasikal, pasti pernah terdengar ayat ini -- “Strava or It Didn’t Happen.”
Bunyi seperti gurauan kan? Ramai juga yang menggunakannya untuk mengusik rakan-rakan yang terlupa menekan butang ‘start’ sebelum bersenam. Namun, selepas meluangkan masa bersama Strava Malaysia pada Sabtu, saya mula faham kenapa ayat tersebut begitu dekat dengan komuniti sukan di seluruh dunia.
Kuala Lumpur menjadi destinasi terakhir jelajah pasukan global Strava di Asia Tenggara selepas Manila dan Bangkok. Acara itu menghimpunkan atlet, pempengaruh kecergasan, dan komuniti larian tempatan menerusi larian santai sejauh enam kilometer (km). Tidak hairanlah Malaysia dipilih sebagai salah satu destinasi jelajah itu apabila negara ini kini berada dalam kelompok 10 negara teratas dunia yang paling aktif menggunakan Strava.
Mungkin pada sesetengah orang, Strava hanyalah tempat untuk memuat naik aktiviti dan berkongsi statistik latihan. Hakikatnya, ramai atlet menggunakan platform tersebut sebagai diari latihan digital untuk melihat perkembangan mereka dari semasa ke semasa. Daripada pelari yang sedang memburu catatan peribadi baharu hinggalah atlet elit yang membuat persiapan ke kejohanan besar, semuanya berada dalam komuniti yang sama.
Bukan untuk menunjuk nunjuk siapa yang paling laju. Sebaliknya, ia adalah tentang konsistensi, motivasi dan sokongan sesama komuniti.