SSR: Prestasi konsisten jadi penentu
Super Schools Rugby (SSR) kini memasuki minggu ketiga saingan yang menyaksikan konsistensi menjadi keperluan utama apabila setiap pasukan perlu tampil dengan rentak permainan cemerlang demi mengumpul mata.
Advertisement
Pada masa yang sama, keputusan yang direkodkan menunjukkan perbezaan prestasi bagi memberi gambaran awal tahap kekuatan pasukan dalam setiap kumpulan bagi ketiga-tiga kategori; premier, challenge trophy dan academy.
Beberapa pasukan tampil dominan seperti Sekolah Sultan Alam Shah (SAS), Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (SEMASHUR) dan Cobra yang meraih kemenangan selesa ke atas lawan masing-masing.
Dominasi penuh SEMASHUR ke atas Sekolah Menengah Sains Pokok Sena (SAINA) menyaksikan anak buah Mohd Hafizul Saiful Anuar menang bergaya 37-0.
"Kami bermain di tempat sendiri jadi menggunakan kelebihan ini untuk menyesuaikan diri dengan keadaan padang, seterusnya meraih kemenangan.
"Kami sudah layak (ke peringkat kalah mati) menerusi dua kemenangan, tapi untuk layak dengan selesa maka kami perlu memenangi perlawanan ketiga bagi menaikkan keyakinan dan motivasi pemain, selain mengesahkan kedudukan pertama," katanya di Nadi Arena.
Aksi minggu kedua turut menyaksikan beberapa perlawanan berlangsung sengit.
Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) bangkit untuk mencatatkan kemenangan pertama ke atas Sekolah Menengah Sains Selangor (SMSS) dan kesilapan mudah SMSS di penghujung permainan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk STAR menoktahkan kemenangan 7-5.
"Tahun ini kami agak bertuah berdasarkan barisan kejurulatihan yang bermutu.
"Kami makin meningkat dalam setiap perlawanan," kata ketua jurulatih SMSS, Hafiy Syazwi Sajali.
King Edward turut menang 15-13 ke atas Sekolah Menengah Kebangsaan Alam Shah, manakala Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra menewaskan English College 17-14 dalam satu lagi perlawanan yang berlangsung.
Pasukan yang kekal konsisten terus mengukuhkan kedudukan, sementara yang lain perlu segera mencari jalan penyelesaian bagi mengelak daripada terus tercicir.
Minggu ketiga, kita bakal melihat pasukan mana yang lebih jelas berada di landasan tepat untuk ke peringkat kalah mati, selari dengan format kejohanan, juara setiap kumpulan memperoleh slot awal ke suku akhir.
Saingan dilihat masih terbuka, keputusan selepas ini memberi impak besar terhadap peluang setiap pasukan untuk terus bersaing dalam kejohanan ini.