SMK Hosba mengekalkan rentak cemerlang dalam saingan Super Schools Rugby Divisyen Akademi apabila menewaskan SMK Putrajaya Presint 11 dengan keputusan 15-10 dalam aksi berintensiti tinggi.
Hosba membuka tirai perlawanan pada minit ke-12 hasil gerakan pantas 'tap and go' yang disudahkan oleh Muhammad Fathullah Sarhan, sebelum Haidar Darwish menyempurnakan conversion untuk meletakkan pasukan di depan 7-0.
Advertisement
Putrajaya Presint 11 cuba merapatkan jurang menerusi sepakan penalti oleh Aqil Nu'man, namun Hosba terus mengukuhkan kedudukan apabila Haidar sekali lagi tenang menyempurnakan sepakan untuk menjadikan skor 10-3.
Memasuki babak kedua, scrumhalf Hosba, Aiman Muslim bijak mengambil peluang hasil kelekaan pertahanan lawan untuk menambah satu lagi try, sekali gus memberikan kelebihan selesa kepada pasukannya.
Namun SMK Putrajaya Presint 11 tidak mudah mengalah apabila pemain gantian, Firnas Fariz, memberikan impak segera dengan menghasilkan try menerusi gerakan balas kemas. Aqil Nu’man kemudian menyempurnakan conversion untuk merapatkan kedudukan.
Aksi semakin sengit apabila berlaku insiden kad kuning terhadap pemain Putrajaya Presint 11, Ahmad Syahmi selepas melakukan high tackle pada lima minit terakhir perlawanan.
Walaupun berdepan tekanan di penghujung aksi, SMK Hosba kekal tenang mempertahankan kelebihan untuk mencatat kemenangan 15-10.
Kemenangan ini menyaksikan SMK Hosba terus menghidupkan peluang dalam saingan kumpulan menjelang perlawanan terakhir pada 30 April, manakala SMK Putrajaya Presint 11 perlu segera memperbaiki disiplin permainan jika mahu menamatkan kempen dengan lebih baik.