Kekalahan pertama musim ini tidak memadam kejayaan TNB ThunderStars dinobatkan juara Liga Hoki Malaysia 2026, sebaliknya menjadi peringatan berguna buat skuad itu agar tidak terlalu selesa dengan pencapaian yang diraih.
Kapten TNB Thunderstars, Nik Aiman Nik Rozemi, mengakui aksi menentang Terengganu Hockey Team (THT) semalam antara persembahan terburuk pasukannya musim ini, namun percaya kekalahan 1-2 itu mampu dijadikan bahan penilaian sebelum mereka mengharungi cabaran seterusnya.
Dengan kelebihan mata yang sukar dikejar pencabar lain, Thunderstars sudah pun mengesahkan kejuaraan liga lebih awal hasil konsistensi dan prestasi cemerlang sepanjang musim.
Bagaimanapun, kekalahan pada perlawanan terakhir yang turut meleburkan rekod tanpa kalah mereka membuktikan masih ada ruang untuk diperbaiki, biarpun status juara sudah berada dalam genggaman.
Bagi Nik Aiman, keputusan itu perlu diterima sebagai satu pengajaran penting, khususnya dalam memastikan setiap pemain kekal fokus tanpa mengira kedudukan pasukan dalam carta liga.
“Alhamdulillah berjaya muncul juara liga musim ini. Kekalahan ini menjadi satu pengajaran buat pasukan. Di sebalik kejayaan yang telah diraih, kita perlu kekal fokus dalam setiap perlawanan,” kata Nik Aiman.
Antara aspek yang perlu diberikan perhatian ialah keberkesanan pukulan sudut penalti apabila Thunderstars memperoleh enam peluang, namun gagal menterjemahkannya kepada jaringan.
Situasi itu pastinya menjadi antara perkara yang mahu diperbaiki menjelang saingan Piala TNB yang dijadualkan bermula bulan depan.
“Kami mahu meningkatkan tahap tumpuan dalam setiap suku permainan. Kami akan menilai semula perlawanan ini dan dalam masa sama, cuba memperbaiki corak menyerang dan bertahan,” katanya.
Thunderstars sebelum ini pernah menamatkan musim liga tanpa kekalahan pada 2024, namun kegagalan mengulangi pencapaian itu menyaksikan mereka menamatkan kempen 2026 dengan satu kekalahan, sama seperti rekod yang dicatatkan pada musim lalu dan 2021.
Kini, fokus skuad itu beralih kepada Piala TNB dengan pengajaran daripada kekalahan terakhir liga diharap menjadi pemangkin untuk mereka kembali lebih mantap dalam misi memburu satu lagi gelaran.