Memasuki pertembungan separuh akhir GP Melaka, rekod pertemuan di antara Melaka Titans dan Selangor Pistons seimbang.
Kali pertama bertemu, Pistons berjaya mengatasi Titans 2-0 pada 2018.
Selang tujuh tahun, Titans akhirnya berjaya melunas dendam tersebut dengan kemenangan 2-0 di GP Kuala Lumpur 2025, sebelum dinobat juara.
Kali ketiga bertemu di Divisyen Premier sejak permulaan saingan STL, jelas banyak yang sudah berubah buat kedua dua pasukan.
Bagi Titans, regu utama kini terdiri daripada pemain kebangsaan seperti Zaim Razali, Syahir Rosdi dan Azlan Alias yang dikerah untuk memulakan perlawanan ini.
Dan pada awalnya, Titans menepati jangkaan dengan mendominasi gelanggang di set pertama, disokong Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam, sehingga kemenangan 15-5.
Namun Pistons bangkit di set kedua untuk merampas penguasaan gelanggang dengan percaturan yang cukup berbeza.
Gandingan Andrian Haziq, Anuphat Chaipen dan Arif Badri berjaya memaksa titans untuk membuat pertukaran pemain dengan membawa masuk Zarif Marican, dan Aekasit Naphom.
Tetapi ia tidak mampu menukar nasib pasukan tuan rumah yang akur tewas juga 15-11.
Di set penentuan, regu Azlan, Zaim dan Syahir dipertaruhkan semula untuk mengesahkan tiket Titans ke final.
Dan kali ini ia membuahkan hasil menentang regu muda Pistons yang Cuba menangani setiap libasan dan ancaman lawan, hanya untuk dikecewakan akhirnya.
Sementara itu, Perak Bison meneruskan misi pemburuan kejuaraan kedua STL Premier musim ini selepas mara ke final GP Melaka menewaskan PDRM Defenders.
Aksi separuh akhir yang agak berat sebelah ini, nyata milik Bison yang menurunkan Amirul Zazwan selaku apit kiri, perejam Nazrein Daniel dan tekong import Pornthep Tinbangbon dengan memimpin permainan sejak awal.
Servis dan rejaman juara GP Penang itu kerap menghadirkan mata demi mata yang menyukarkan defenders membalas untuk mendahului set pertama 15-7.
Anak buah Tajuddin Ahmad tidak mengendurkan rentak dan semakin garang di set kedua apabila Defenders dilihat melakukan kesilapan demi kesilapan Yang menghadirkan mata buat mereka.
Kesempatan itu diambil dengan tenang dan selepas 37 minit dengan kelebihan 15-10, perjalanan juara GP Perak, Defenders tidak terhenti namun terpaksa beraksi di penentuan tempat ketiga.