Final Kejohanan Bola Jaring Piala Toh Puan Datuk Wira Dr Asmah Ab Rahman menyajikan drama hingga ke wisel penamat apabila pasukan Spitfire Netballers menewaskan juara bertahan, IM Team, dengan keputusan tipis 22-21 di Dewan Bola Keranjang, Bukit Serindit, hari ini.
Hasil disiplin bertahan serta penyudah tepat di bulatan jaring lawan menyaksikan Spitfire menutup separuh masa pertama dengan kelebihan 13-10.
Advertisement
Kedua-dua pasukan saling mengejar mata ketika aksi sengit dengan tempo permainan yang tinggi berlanjutan dalam babak kedua.
Bagaimanapun, detik getir buat IM Team selepas kehilangan seorang pemain buat seketika, atas kesalahan 'obstruction and contact' lantas dimanfaatkan Spitfire untuk mendominasi permainan hingga ke saat-saat akhir.
"Kami muncul naib juara dan meraih tempat ketiga dalam dua edisi lalu.
"Jadi kami sangat bangga (atas kejayaan ini).
"Apa sahaja yang terjadi, kami hanya berikan yang terbaik.
"Kami ikut rentak sendiri, konsisten dengan balingan dan saling mempercayai rakan sepasukan.
"Kami mahu mengekalkan kejuaraan ini pada tahun depan," kata kapten & WA Spitfire Netballers, Nur Hasmira Sofian.
Dedikasi dan semangat berpasukan menjadi azimat Spitfire Netballers -- yang rata-rata dibarisi pemain amatur -- untuk mengalahkan lawan yang diwakili beberapa pemain profesional negara.
"Sejak di peringkat kumpulan, kami banyak berlatih.
"Strategi kami hari ini memerlukan kami bertahan dan manfaatkan peluang jaringan.
"Kami tidak terburu-buru dengan melakukannya satu persatu," kata ketua jurulatih Spitfire Netballers, Mohd Zaki Mohd Ali.