Skip to main content

Bola Sepak

Piala Malaysia: Kuching City waspada 'remontada' Selangor

aidil sharin sahak

Ketua jurulatih Kuching City, Aidil Sharin Sahak, kekal waspada terhadap kebangkitan Selangor menjelang aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Negeri Sarawak malam esok.

Pengendali dari Singapura itu menegaskan anak buahnya tidak boleh hanyut dengan prestasi semasa sebaliknya perlu kekal fokus untuk melunaskan misi ke final buat kali pertama.

Advertisement

Kuching City hadir ke aksi timbal balik itu dengan keyakinan tinggi selepas mengikat Selangor 1-1 dalam perlawanan pertama di Stadium MBPJ pada 5 April lalu.

Malah, The Cats turut mendapat tonik terbaik apabila mencatat kemenangan 4-1 ke atas PDRM FC dalam aksi terakhir Liga Super hujung minggu lalu.

Bagi Aidil, keputusan itu tidak memberikan sebarang jaminan untuk pasukannya meraih tiket ke final.

"Alhamdulillah ia satu perkara positif tetapi perlawanan ini agak berbeza dan kami akan bermain dengan pasukan besar dan sudah pasti akan ada banyak momen yang menarik," katanya seperti dilaporkan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

"Sudah pasti perlawanan ini akan berkeamatan tinggi dan kami akan cuba mendapatkan kemenangan dalam tempoh 90 minit.

"Apa yang penting, pasukan kami perlu bersatu, fokus dan sudah pasti persiapan bagi perlawanan ini penting buat kami.

"Setiap pasukan ada kelemahan, kami juga ada kelemahan dan apa yang penting kami tidak boleh terlalu terbawa-bawa dengan keputusan lalu.

"Ini perlawanan baru dan amat penting buat kmai. Kami tidak mahu ia tamat di peringkat ini.

"Insya-Allah, dengan kehadiran penyokong dan motivasi pemain, dan sokongan pihak pengurusan, kami akan melakukan yang terbaik dalam perlawanan separuh akhir ini."

 

 

Must Watch Video