Harimau Malaya melakukan perubahan pada saat-saat akhir di posisi pertahanan apabila nama Aysar Hadi dipanggil ke kem latihan pusat Harimau Malaya menggantikan Dominic Tan.
Bagi Aysar, dia meletak harapan tinggi untuk dipanggil meskipun berada dalam senarai menunggu dan panggilan pertama dalam karier ke skuad senior kebangsaan akhirnya tercapai.
Hadir sebagai pemain baru tidak memberikan satu tekanan terhadap dirinya.
"Alhamdulillah atas panggilan pertama daripada jurulatih, Tan Cheng Hoe.
"Saya sememangnya sudah bersedia daripada segi mental kerana sudah mengetahui dalam senarai menunggu. Jadi setiap hari saya menunggu panggilan skuad kebangsaan.
"Semestinya saya perlu buat yang terbaik, bukan gugup tetapi saya optimis melakukan yang terbaik untuk pasukan negara," katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Abidin, di UM Arena.
Malah, pemain berusia 23 tahun itu percaya semua pemain senior lain dapat membantu daripada segi keserasian berdasarkan kualiti yang setiap pemain ada.
"Setiap pemain dalam pasukan iniberkualiti.
"Pemain senior pastinya akan membantu kami untuk bermain dengan baik secara satu pasukan," katanya.