"Jika ada barah dalam pasukan, saya akan singkirkan"
Itu amaran ketua jurulatih Negeri Sembilan, Daniel Gimenez Alcaniz, berhubung dakwaan wujud elemen tidak harmoni dalam bilik persalinan.
Andai senario itu benar mahupun belum sampai ke pengetahuannya — Daniel tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan drastik.
Persoalan itu timbul ekoran permulaan musim yang hambar menerusi dua kekalahan disamping tersingkir daripada saingan Piala FA.
"Jika terdapat apa-apa daripada dalam yang memberikan kesan, pada saya perlu disingkirkan.
"Kami perlu bersama dan kuat. Jika sesiapa menjadi toksik dalam pasukan, bagi saya mudah, sebelum menjadikan pasukan itu teruk, perlu disingkirkan," katanya.
Dalam pada itu, Daniel mempertahankan kredibiliti penjaga gol pilihan utamanya, Azri Ghan,i yang dibolosi hasil rembatan jarak jauh, Asraff Aliffuddin Yasin, dalam separuh masa kedua di aksi timbal balik Piala FA menentang Kelantan City malam tadi.
"Kami menyerang dengan 11 pemain, begitu juga bertahan. Dia lakukan apa yang saya arahkan. Ia bukan masa untuk salahkan, kerana kami menang dan kalah sebagai sepasukan. Bukannya kalah kerana individu.
"Kami tahu Azri sangat bagus kerana itu dia menjadi pemain kebangsaan." tambahnya.
Sejak mengemudi skuad The Jang, falsafah pengendali kelahiran Sepanyol itu untuk memulakan serangan daripada penjaga gol memaksa Azri Ghani berada di luar kawasan pintu gol.
Namun, kealpaan penjaga gol Harimau Malaya itu membuka ruang buat Asraff liffuddin menyukarkan kebangkitan yang cuba dijelmakan Negeri Sembilan di laman sendiri.