Pemain berstatus bintang menjadi inspirasi kepada barisan pemain muda Melaka dalam misi mempertahankan kejuaraan Piala Emas Khir Johari edisi ke-58.
Itu pengakuan apit kiri Melaka, Zulkhairy Ahmad Sabry, selepas berpeluang bergandingan bersama pemain kebangsaan seperti Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Zarif Marican Ibrahim Marican.
Advertisement
Kelibat Melaka mencuri tumpuan selaku juara bertahan, lebih-lebih lagi dengan kehadiran beberapa pemain kebangsaan dalam skuad mereka.
Syahir, Azlan dan Zarif sebelum ini melakar sejarah apabila menamatkan kemarau 34 tahun emas acara regu berpasukan dalam Sukan SEA Thailand, Disember lalu.
Zulkhairy mengakui tunjuk ajar dan pengalaman yang dikongsikan ketiga-tiga pemain itu banyak membantunya dan rakan sepasukan memperaga prestasi terbaik.
"Seimbang.
"Ketiga-tiga mereka banyak memberikan motivasi.
"Banyak tips yang dipelajari.
"Saya terharu kerana dapat bergandingan dengan bintang kebangsaan," katanya di Nadi Arena.
Zulkhairy bersama tekong, Azri Fahmi Zainuzzaman, dan perejam, Adam Ameerul, memastikan Melaka membuka kempen dengan langkah kanan apabila menyumbang mata kedua untuk menumpaskan Kedah 17-16, 15-6.
Dalam perlawanan pertama, gandingan Azlan dan Zarif memberikan kelebihan awal buat Melaka dengan kemenangan 15-5, 15-5, manakala aksi ketiga yang membabitkan Syahir turut berakhir dengan kemenangan 15-8, 15-13.
"Paling penting, siapa yang banyak melakukan kesilapan akan dihukum.
"Susun atur juga memainkan peranan.
"Semua mempunyai peluang untuk menjadi juara.
"Jika ada rezeki, kami mahu bergelar juara buat kali kedua," kata Presiden Persatuan Sepak Takraw Melaka (PASTAM), Datuk Akramuddin Abdul Aziz.
Keputusan itu menyaksikan Kedah terpaksa pulang awal selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut.