Argentina tampak tenang, terlalu tenang sejak memulakan kempen Piala Dunia 2026 dengan rumusan -- segalanya berkisarkan Lionel Messi.
Empat perlawanan dengan nilai tujuh gol untuk meletakkan sebagai pendahulu Kasut Emas -- merentasi 20 gol secara keseluruhan -- temasya yang membabitkan tiga negara ini, tiada sangsi lagi satu rekod yang cukup mengagumkan.
Cabo Verde semalam memberi bayangan kelemahan bukan sahaja sistem permainan Argentina yang terlalu bergantung ketua pasukan berusia 39 tahun ini, malah satu situasi yang menunggu masa untuk meledak sahaja.
Barisan asuhan Lionel Scaloni ini sudah 12 kali merobek gawang lawan sepanjang merintis ke pusingan 16 untuk bertemu Mesir.
Lima jaringan selebihnya direkod Giovani Lo Celso, Lautaro Martínez, Lisandro Martínez sementara dua lagi menerusi gol sendiri pihak lawan menjadi cerminan bahawa tiada pemain yang lebih dominan selain Messi.
Sudah terang lagi bersuluh bahawa taktikal juara bertahan ini masih tertumpu kepada aset Inter Miami -- dengan sedia mengorbankan potensi individu -- memandangkan magis Messi lebih berbisa.
Sebab itu anda perlu memikirkan Rodrigo De Paul dan Leandro Paredes kalau pihak lawan ingin melebih-lebih ketika cuba mengekangnya.
Messi memberikan satu sentuhan berkelas dunia sebelum ketika menyambut hantaran jauh Martinez, satu ketenangan tahap tinggi sebelum memecah kebuntuan pertemuan di Stadium Miami itu.
Berselang beberapa detik kemudian, situasi hampir serupa dan kali ini Messi bertindak selaku arkiteknya pula dengan satu lambungan jauh, hanya untuk disia-siakan oleh Lautaro.
Dilema lampau Argentina mungkin menjelma semula, andai si kidal ini menutup karier antarabangsanya.
Kemewahan kelincahan individu itu juga tinggi risikonya, kalau setakat gelek tango, ramai sudah yang datang dan pergi sejak era persaraan Diego Maradona.
Selepas tempoh itu, datanglah segala bakat dari wilyah Ciudadela di Buenos Aires sebagaimana Carlos Tevez hingga ke serata ceruk Argentina sekali, sampaikan terpaksa menunggu hingga 36 tahun untuk menamatkan penantian kembali bergelar juar.
Mungkin sumpahan 'Hand of God sudah terlerai, tapi magis Messi pula akan menghantui mereka setelah dimanjakan dengan bakatnya bermula dari edisi 2006.
Pada waktu ini, Scaloni sepertinya mahu mengelak mendedahkan pelan B sekiranya Albiceleste terdesak tanpa sentuhannya, sekalipun sempat merehatkannya dalam tempoh sejam awal permainan ketika berdepan Jordan di peringkat kumpulan.
Itu pun, di penghujung perlawanan, Messi tetap mencetak nama sebagai penjaring.