“Tak kenal maka tak cinta, bila dah kenal mulalah jatuh hati.” Ungkapan itu paling tepat menggambarkan perjalanan bekas peninju negara, Adli Hafidz Mohd Pauzi, atau lebih dikenali sebagai Golden Boy, yang kini semakin aktif menceburi sukan ketahanan ekstrem menerusi siri perlumbaan Ironman.
Pemenang pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dalam kategori light heavyweight (81kg) itu membuktikan kehebatannya bukan hanya di gelanggang tinju, malah turut memiliki ketahanan fizikal dan mental apabila berjaya menamatkan Ironman 70.3 Desaru 2026 pada Ahad.
Penyertaan di Desaru itu merupakan penampilan kedua Adli dalam saingan Ironman 70.3 selepas membuat penampilan sulung di Langkawi tahun lalu.
Pengalaman yang diraih nyata membuatkan beliau semakin jatuh cinta dengan sukan berkenaan dan berazam untuk terus menguji kemampuan diri dalam lebih banyak perlumbaan pada masa akan datang.
Bagi Adli, Ironman bukan sekadar perlumbaan, sebaliknya medan untuk menguji disiplin, ketahanan dan kekuatan mental yang pernah membentuk dirinya ketika bergelar atlet tinju negara.
Di sebalik komitmen besar sebagai Penolong Pengarah Kastam, beliau turut menguruskan sebuah kelab tinju di Johor Bahru, selain memikul tanggungjawab sebagai suami dan bapa kepada dua cahaya mata.
Namun, kesibukan itu tidak pernah menjadi alasan untuk meninggalkan dunia sukan.
Menurut Adli, pengurusan masa yang baik serta disiplin tinggi menjadi kunci utama untuk memastikan setiap tanggungjawab dapat dilaksanakan dengan seimbang.
Beliau percaya sesiapa sahaja mampu mengejar minat dan mengekalkan gaya hidup aktif, asalkan bijak menyusun keutamaan serta konsisten dalam menjalani rutin harian.
Perjalanan daripada seorang peninju yang pernah mengharumkan nama negara kepada seorang atlet Ironman membuktikan semangat kesukanan tidak pernah pudar dalam diri Adli.
Malah, kisahnya menjadi inspirasi bahawa usia, kerjaya dan komitmen keluarga bukan penghalang untuk terus mencabar had kemampuan diri serta menikmati kehidupan yang lebih sihat dan aktif.