Skuad negara memulakan saingan Kejohanan Futsal Piala Asia dengan langkah kiri apabila tewas 1-4 kepada pasukan nombor lima dunia, Iran, dalam aksi pertama Kumpulan D di Velodrom Antarabangsa Jakarta sebentar tadi.
Advertisement
Jurang 65 anak tangga dalam ranking dunia dengan pasukan nombor satu Asia itu jelas kelihatan ketika pasukan negara dibolosi seawal minit pertama oleh Mohammad Hossein Derakhshani.
Bagaimanapun, nak buah Addie Azwan Zainal itu kemudian kental bertahan sepanjang babak pertama dengan beberapa kali mengancam kubu lawan.
Corak terbuka yang mula dipamerkan skuad negara dalam separuh masa kedua jelas mengundang padah apabila mereka sekali lagi dibolosi selepas lima minit perlawanan bersambung, kali ini menerusi penyudah Behrooz Azimi.
Dua minit berselang, Hossein Tayyebi menjadikan kedudukan 3-0 buat Iran sebelum Moslem Oladghobad melengkapkan kemenangan bergaya mereka seminit kemudian.
Gol sagu hati skuad negara pula tiba pada minit terakhir menerusi jaringan Awalluddin Nawi.
Malaysia seterusnya akan menghadapi Afghanistan bagi aksi kedua di venue sama pada Jumaat ini.