Skip to main content

Bola Sepak

Penarikan diri Iran cetus ‘dilema besar’ buat FIFA

Penarikan diri Iran cetus ‘dilema besar’ buat FIFA

Keputusan skuad kebangsaan Iran untuk menarik diri daripada Piala Dunia 2026 kini mencetuskan dilema besar kepada badan induk bola sepak dunia,

Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), yang perlu mempertimbangkan kemungkinan mencari pasukan pengganti.

Advertisement

Menteri Sukan Iran, Ahmad Donyamali, menegaskan bahawa situasi semasa menjadikan penyertaan pasukan negaranya dalam kejohanan bola sepak terbesar dunia itu adalah mustahil.

Piala Dunia 2026 dijadual berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai 2026 dengan penganjuran bersama oleh Amerika Syarikat (AS), Mexico dan Kanada.

Situasi itu menimbulkan persoalan kerana Iran berpotensi beraksi di negara yang turut terlibat dalam konflik itu sebagai salah satu tuan rumah kejohanan.

Sebelum kenyataan itu dibuat, Presiden FIFA, Gianni Infantino, memaklumkan bahawa Presiden AS, Donald Trump, memberi jaminan bahawa Iran dialu-alukan untuk menyertai kejohanan tersebut di negaranya.

Namun selepas kenyataan Iran yang benar-benar menarik diri kelmarin, situasi itu akan dikendalikan di bawah Artikel Enam peraturan kejohanan Piala Dunia yang membenarkan FIFA memilih mana-mana pasukan untuk menggantikan tempat yang kosong.

Bekas Pengarah Peraturan Bola Sepak FIFA, James Kitching, menjelaskan bahawa tiada kes rujukan moden bagi situasi sebegini dan FIFA mempunyai budi bicara penuh untuk menentukan langkah seterusnya.

Menurut Kitching, pasukan pengganti tidak semestinya datang daripada konfederasi yang sama, malah secara teknikalnya tempat tersebut juga boleh dibiarkan kosong, biarpun keputusan sedemikian mungkin menimbulkan implikasi politik.

Iran sebelum ini layak ke Piala Dunia buat kali keempat berturut-turut selepas menjuarai Kumpulan A dalam pusingan ketiga kelayakan Asia tahun lalu.

Sekiranya tempat itu perlu digantikan, wakil dari Asia dilihat sebagai pilihan paling munasabah.

Antara pasukan yang berpotensi dipertimbangkan ialah Iraq dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Iraq ketika ini dijadual menyertai pusingan perlawanan penentuan (play-off) antara benua di Mexico bagi merebut slot ke Piala Dunia menentang sama ada Bolivia atau Suriname pada 31 Mac.

Jurulatih Iraq, Graham Arnold, mencadangkan agar perlawanan tersebut ditangguhkan sehingga lebih hampir dengan kejohanan sebenar bagi memberi ruang kepada FIFA menilai perkembangan situasi semasa di Iran.

Topik Berkaitan

Must Watch Video