“Unfinished business," Itu reaksi Datuk Ong Kim Swee selepas sekali lagi diberi kepercayaan untuk menerajui Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) bagi penggal 2026 hingga 2030.
Bekas pengendali Harimau Muda A itu mengakui masih banyak agenda perlu diselesaikan, terutama dalam memperjuangkan kebajikan, kepentingan dan masa depan jurulatih tempatan.
Kongres Tahunan PJBM kali ini mencatatkan sejarah tersendiri apabila menerima kehadiran tertinggi dengan 192 ahli keluar mengundi bagi menentukan barisan kepimpinan baharu.
Selepas hampir tujuh jam berlangsung sejak 10.30 pagi, keputusan rasmi menyaksikan Kim Swee menang selesa dalam saingan tiga penjuru dengan memperoleh 142 undi.
Pencabarnya, Datuk Richard Scully meraih 28 undi, manakala Azlan Johar memperoleh 23 undi.
Kemenangan itu membolehkan Kim Swee meneruskan mandat untuk tempoh empat tahun lagi, sekali gus memberi ruang kepadanya menyambung agenda yang masih belum selesai.
Menurutnya, barisan kepimpinan baharu perlu memastikan kebajikan ahli terus diberi perhatian, selain memperluas program pembangunan dan pendidikan kejurulatihan.
“Ini merupakan tugas wakil ataupun ahli Exco yang baharu untuk memastikan kita tidak meninggalkan aspek penting yang perlu diberikan semula kepada ahli, selain melaksanakan lebih banyak program terutama dari segi pendidikan kejurulatihan.
“Saya percaya itu yang mereka inginkan dan pada masa sama kita perlu bekerjasama dengan banyak pihak. Saya juga berharap penaja dapat tampil membantu,” katanya.
Kim Swee turut menegaskan kerjasama dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) amat penting bagi memastikan PJBM mampu melaksanakan lebih banyak program yang tidak dapat digerakkan secara bersendirian.
Beliau berharap hubungan kedua-dua badan itu dapat diperkukuh demi manfaat komuniti kejurulatihan tempatan.
Dalam perkembangan sama, Kim Swee akan dibantu dua Timbalan Presiden, Razip Ismail dan Asri Ninggal yang menang tanpa bertanding.
Antara perkembangan menarik dalam pemilihan kali ini ialah kemunculan beberapa wajah baharu, termasuk Nidzam Jamil yang berjaya memenangi salah satu daripada empat kerusi Naib Presiden.
Sementara itu, Shukor Adan, Bunyamin Umar, Shahrom Kalam, Zaquan Adha Abdul Radzak dan V. Kavichelvan antara calon yang berjaya mengisi kerusi Exco lelaki.
Kim Swee menyifatkan kehadiran ramai ahli yang pertama kali menyertai kongres sebagai petanda positif terhadap peningkatan kesedaran jurulatih tempatan untuk bergerak secara berpersatuan.
Beliau bagaimanapun mengakui cabaran lebih besar menanti apabila PJBM perlu menterjemahkan mandat baharu itu kepada program dan inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada ahli.
“Seperti saya katakan sebelum ini, tugas mencabar apabila kita dapat lihat ramai ahli PJBM yang hadir buat kali pertama untuk kongres dan ini menunjukkan PJBM sudah melakukan beberapa langkah, namun banyak lagi yang perlu kita lakukan selepas ini,” katanya.
Dengan mandat baharu itu, Kim Swee kini berdepan tanggungjawab memastikan suara jurulatih tempatan terus diperjuangkan, bukan sekadar di meja perbincangan, tetapi melalui tindakan yang mampu mengubah landskap kejurulatihan bola sepak negara.