Hari terakhir Kejohanan Angkat Berat Kebangsaan 2026 menyaksikan dua kisah berbeza mencuri perhatian apabila Abdila Iyad Abdul Jalil kembali meraih gelaran juara, manakala Isaac Masne membuktikan bakatnya menerusi inspirasi daripada kakak sendiri.
Abdila, juara Sukan Malaysia (SUKMA) 2022, kembali menjejakkan kaki ke podium tertinggi selepas mengungguli kategori senior lelaki bawah 110 kilogram.
Kejayaan itu menjadi suntikan motivasi buat atlet berkenaan yang kini mengintai peluang untuk mewakili negara pada Sukan SEA 2027.
Bagaimanapun, peluang itu masih belum dapat dipastikan memandangkan kategori bawah 110 kilogram belum mendapat jaminan akan dipertandingkan pada temasya berkenaan.
Justeru, Abdila memilih untuk terus mempersiapkan diri sebaik mungkin supaya berada dalam keadaan terbaik sekiranya kategori tersebut disenaraikan kelak.
“Buat masa ini, ini merupakan persembahan terbaik saya untuk musim ini.
“Untuk tahun 2027, saya menyasarkan angkatan yang lebih baik, sekali gus cuba memberikan saingan kepada barisan atlet kebangsaan,” katanya.
Sementara itu, kategori remaja turut menyaksikan kemunculan seorang prospek menarik menerusi Isaac Masne yang muncul juara bawah 110 kilogram selepas merekodkan jumlah angkatan keseluruhan 266 kilogram.
Lebih menarik, atlet berusia 16 tahun itu menjadikan kakaknya, Sonia Cassendra, sebagai sumber inspirasi utama untuk membina karier dalam sukan angkat berat.
Sonia bukan nama asing dalam sukan itu apabila pernah mewakili negara pada Sukan SEA Hanoi 2021 sebagai atlet angkat berat wanita.
Keputusan Isaac mengikuti jejak langkah kakaknya ternyata menjadi sesuatu yang tidak disangka Sonia.
Namun, bekas atlet negara itu kini hanya mempunyai satu harapan, iaitu melihat adiknya melangkaui pencapaian yang pernah diraihnya.
Bagi Isaac, kejayaan di pentas kebangsaan itu bukan noktah, sebaliknya permulaan kepada perjalanan lebih panjang untuk membuktikan dirinya mampu mengikut, malah mengatasi jejak langkah Sonia.