Persatuan Sukan Orang Pekak Negeri Selangor (Selsdeaf) melakar satu lagi kejayaan membanggakan apabila berjaya meraih dua pingat emas dan satu pingat gangsa dalam Kejohanan Olahraga Orang Pekak Malaysia Ke-6 baru-baru ini.
Kejayaan ini amat bermakna memandangkan persatuan berdepan pelbagai cabaran termasuk kekangan dana bagi tujuan latihan, persiapan atlet serta pengurusan pasukan sepanjang kejohanan. Namun, segala kekurangan tersebut tidak mematahkan semangat atlet dan jurulatih sekolah IbuBapa dan sekolah untuk terus berusaha mengharumkan nama Selangor.
Atlet harapan Selangor, Muhamad Danish Danial Mohd Nasrin, muncul wira pasukan apabila merangkul dua pingat emas menerusi acara 800 meter dan 1,500 meter. Kejayaan cemerlang ini membuktikan hasil latihan yang berterusan, disiplin tinggi serta semangat juang luar biasa yang ditunjukkan oleh beliau sepanjang kejohanan.
Sementara itu, atlet wanita Selangor, Nadia Ziyana Puteri binti Mohd Zain, turut menyumbang kejayaan kepada kontinjen negeri apabila berjaya memenangi pingat gangsa, sekali gus menambah koleksi pingat Selangor dalam kejohanan tersebut.
Pencapaian ini jelas membuktikan bahawa atlet orang pekak Selangor mempunyai potensi besar untuk bersaing dan mencapai kecemerlangan walaupun berdepan pelbagai kekangan.
Kejayaan yang diraih bukan sahaja menjadi kebanggaan negeri Selangor, malah menjadi inspirasi kepada komuniti orang pekak di seluruh negara untuk terus aktif dalam bidang sukan.
Persatuan Sukan Orang Pekak Negeri Selangor merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada atlet, jurulatih, pegawai pasukan, ibu bapa serta semua pihak yang sentiasa memberikan sokongan dan bantuan sepanjang persiapan dan penyertaan dalam kejohanan ini.
Diharapkan kejayaan dua pingat emas dan satu pingat gangsa ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan sukan orang pekak di Selangor serta menarik lebih banyak sokongan daripada pelbagai pihak bagi memastikan atlet-atlet berbakat dapat terus digilap untuk mencapai kejayaan yang lebih gemilang pada masa hadapan.
“Kekangan bukan penghalang, sebaliknya menjadi pembakar semangat untuk mencipta kejayaan.”