Tidak berasa kerdil, sebaliknya mempersiapkan mental dan fizikal menjadi pegangan utama Nur Ziyan Zahirah Yusoff dalam mencipta sejarah sebagai pengadil wanita pertama bagi acara ragbi di Sukan Malaysia (SUKMA).
Bagi Nur Ziyan, peluang mengadili saingan ragbi di pentas SUKMA Selangor 2026 bukan sesuatu yang datang dengan mudah, terutama dalam sukan yang selama ini lebih sinonim dengan pengadil lelaki.
Namun, segala cabaran itu dilaluinya satu persatu sehingga berjaya diangkat sebagai pengadil wanita kebangsaan.
Lebih mengukuhkan reputasinya, Nur Ziyan turut diberi kepercayaan mengadili tiga perlawanan SEA Women’s 15s Championship pada Februari lalu.
Kini, namanya tersenarai dalam kelompok 20 pengadil yang bakal bertugas sepanjang temasya SUKMA Selangor yang membuka tirai pada 15 Ogos depan.
“Saya perlu kuatkan mental dan fizikal.
“Ia salah satu cabaran yang tinggi, tapi dengan program latihan yang diberikan pengadil senior, saya boleh mengikutinya.
“Penglibatan wanita dalam sukan lebih menonjol, bukan sahaja sebagai pengadil malah jurulatih,” katanya.
Bagi Nur Ziyan, kehadiran lebih ramai wanita dalam arena ragbi membuktikan bahawa penglibatan golongan itu kini semakin berkembang, bukan hanya sebagai atlet tetapi turut merangkumi aspek kejurulatihan dan pengadilan.
Sementara itu, Penyelaras Program, Abdul Hamid Sauh, menegaskan proses melahirkan barisan pengadil berkualiti memerlukan sokongan dan kerjasama semua pihak.
Menurutnya, masih terdapat pengadil baharu yang berpotensi untuk pergi lebih jauh sekiranya diberikan peluang serta kepercayaan.
“Saya melihat ada pengadil baru yang boleh ke depan lebih jauh. Harap semua bantu pengadil agar mereka boleh ke tengah," ujar Hamid.
Buat Nur Ziyan, SUKMA Selangor bukan sekadar pentas untuk menjalankan tugas, tetapi peluang membuktikan bahawa wanita juga mampu berdiri di tengah padang, membuat keputusan dan mengawal perlawanan pada tahap tertinggi.
Dan jika semuanya berjalan lancar, namanya bakal tercatat dalam sejarah SUKMA sebagai pengadil wanita pertama bagi acara ragbi.